UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
IDEAL-UPM SABAH, KOTA KINABALU

Tugasan 3: KOM3302 Prinsip dan Amalan Kewartawanan
TUGASAN 3:
sebelum balik depan
Pensyarah : Muhamad Rosli Selamat
Disediakan: Hajimin Hj.Maslin, J05475, B.Comm 5

PELAJAR PJJ (IDEAL-UPM) BACELOR KOMUNIKASI SETARAF DENGAN PELAJAR BACELOR KOMUNIKASI SEPENUH MASA UPM DAN IPTA LAIN

INSTITIUT PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN JARAK JAUH (Institute for Distance Education and Learning - IDEAL) Universiti Putra Malaysia yang telah dirasmikan penubuhannya pada 26 Jun 1995 oleh Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Hj. Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia serta disusuli dengan kelulusan oleh Senat Universiti pada 15 Mei 1997, akan bakal melahirkan graduan PJJ sulungnya dalam bidang bacelor komunikasi setanding dengan graduan bacelor komunikasi sepenuh masa UPM dan IPTA lain, menjelang akhir tahun 2002.

Instrumen kawalan kualiti

Hakikat ini akan terbukti kerana bukan sahaja melihat kepada aspek pencapaian akademik para pelajarnya yang memberangsangkan tetapi pihak IDEAL telah menyediakan suatu instrumen kawalan kualiti seperti yang didokumentasikan dalam "Pembentangan Kertas Kerja Ke Lembaga Akreditasi Negara (LAN) pada 11 Ogos 1998 oleh Profesor Dr. Hj Abdul Hamid Mahmood, Prof. Madya Dr. Hj. Azahari Ismail dan Dr. Azizan Azmuni. Antara instrumen kawalan kualiti yang didokumentasikan termasuklah kawalan kualiti terhadap kurikulum pengajian, sistem peperiksaan, syarat kemasukan, pengambilan pensyarah , penyediaan modul pembelajaran , pengambilan pakar dan latihan penulis modul dari dalam dan luar negara, pelantikan penilai modul dari dalam dan luar UPM, pengambilan tutor, pemantauan berterusan ke pusat-pusat pembelajaran dan pemantauan kemudahan-kemudahan sokongan pelajar, sistem komunikasi, sistem maklumat pelajar supaya selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh UPM, menjalankan kajian berterusan tentang status akedemik pelajar, prestasi pensyarah dan tutor, kualiti modul, kaedah pengajaran dan pembelajaran dan peranan rakan usaha sama (penyelia pusat-pusat pembelajaran), mengkaji permasalahaan IDEAL dan Penggunaan Teknologi Maklumat dengan perisian-per.isian yang terkini. Bermakna, IDEAL telah mengadaptasi semua instrumen kawalan kualiti UPM yang dilaksanakan untuk pelajar sepenuh masa dalam kampus.

Kelainan perlaksanaan program PJJ

Perbezaan ketara dari segi sifatnya iaitu pelajar PJJ mempunyai tiga (3) komitmen penting iaitu sebagai pelajar, bertanggungjawab kepada majikan dan menjadi pengurus kepada keluarganya . Sementara perbezaan wujud dalam sistem pembelajaran antara pelajar PJJ dengan pelajar sepenuh masa ialah kaedah pengajaran dan pembelajaran iaitu kaedah pengajaran dan pembelajaran jarak jauh dengan sokongan modul pembelajaran kendiri /selfinstructed modules dan kendiri yang anjal, dan satu lagi menggunakan pengajaran dan pembelajaran kuliah bersemuka sepenuh masa (setiap hari).

Pelajar komunikasi berdaya saing?

Pelajar bacelor komunikasi lebih berdaya siang kerana pelajar didedahkan kepada subjek-subjek yang mencabar , lebih menguji minda dan relati serta bersifat aplikasi kepada kehidupan seharian. Untuk menguji tahap ketrampilan pelajar , mereka telah diberi latihan -latihan dan kerja-kerja kursus yang memerlukan penyelesaian dan penyempurnaan melalui kaedah penyelidikan dan analisis. Ke arah pembentukan dan pemantapan ilmu dan pengetahuan, pelajar dengan bimbingan pensyarah dan tutor, diwajibkan untuk menjalankan kajian dan penyelidiakan berdasarkan fenomena dan situasi di agensi-agensi kerajaan dan agensi swasta . Ini sesuai dengan misi IDEAL untuk menjadikan pusat pembelajaran dan penyelidikan yang ulung ke arah menyumbangkan bukan sahaja kepada kemajuan manusia dan penerokaan ilmu tetapi juga kepada pembentukan kekayaan dan pembangunan negara.

Pelajar sulung siswazah komunikasi di Sabah?

Berdasarkan falsafah IDEAL untuk mendemokrasikan pendidikan, IDEAL telah menempatkan pusat-pusat pembelajarannya di negeri-negeri Malaysia termasuk Sarawak dan Sabah. IDEAL-UPM Sabah, secara rasminya telah memulakan sesi akademiknya pada 7 November 1998, bagai sesi pengajian November 1998/1999 dengan bilangan pelajar hanya seramai 64 orang dan seorang tutor. Mereka merupakan kumpulan pertama di Sabah dan sebahagian daripada pelajar seluruh Malaysia yang menjadi perintis pengajian PJJ dalam bidang bacelor komunikasi .

Lebih kurang 40 jenis kursus yang ditawarkan dalam bidang ini, termasuk lah Strategi Perhubungan Awam, Pengucapan Awam, Teori Komunikasi, Teori Keorganisasian, Penulisan Korporat, Etika Komunikasi, Kemahiran Komunikasi Antara Perseorangan, Komunikasi Silang Budaya, Isu-isu komunikasi dan Teknologi, Kemahiran Komunikasi Keorganisasian, Komunikasi dan Perundingan, Pengurusan Krisis Organisasi, Psikologi Komunikasi, Prinsip dan Amalan Kewartawanan, Penerbitan Elektronik, Komputer Dalam Pembangunan Sumber Manusia, Pengurusan Penyiaran, Pengiklanan dan Komunikasi Kumpulan Kecil, dan latihan Industri.

Antara kelebihan pengajian komunikasi

Para pelajar bukan sahaja disediakan kursus yang bersifat aplikasi semasa tetapi para pensyarah yang membimbing dan menyediakan modul adalah terdiri daripada kalangan pensyarah sepenuh masa yang pakar dalam bidang masing-masing. Sementara pengambilan para tutor juga adalah mereka yang berkelayakan dan boleh mengajar di bidang-bidang berkenaan. Sebagai memudahkan pelajar boleh mengurus proses pembelajaran kendiri yang lebih sistematik, modul-modul disediakan secara sistematik dan kuliah tutorial dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan di penghujung minggu agar tidak menganggu tugas-tugas di pejabat. Pusat-pusat peperiksaan juga diadakan di negeri-negeri yang berhampiran dengan calon. Selain itu, dalam usaha membantu pelajar yang kurang mahir dalam bahasa inggeris, IDEAL telah mengadaptasi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi kursus peringkat bacelor komunikasi, selaras dengan usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar semua kursus di universiti pada tahun 1983, walau bagaimanapun bahasa inggeris terus diamalkan. Untuk mereka yang tidak berkemampuan pula, ada agensi kerajaan memberi "hadiah biasiswa kerajaan negeri" kepada pelajar berkenaan, ini menunjukan satu penghormatan kepada IDEAL dan sekali gus menunjukkan pengiktirafan kerajaan kepada kursus bacelor komunikasi yang ditawarkan.

Potensi bekal graduan PJJ komunikasi

Dari perspektif kerjaya, bekal graduan PJJ komunikasi IDEAL mempunyai potensi besar bekerja dalam pelbagai sektor dan disiplin pengurusan , perancangan dan pembuatan keputusan, dan bidang komunikasi seperti pengurus strategi perhubungan awam di jabatan kerajaan dan swasta, pengurus krisis organisasi, penyunting berita media, wartawan, penerbit rancangan, penyelidik komunikasi dan sains sosial, pensyarah (tutor) komunikasi, penulis ucapan organisasi , komunikator silang budaya yang berkesan dan sebagainya. Ini kerana, sehingga kini belum terdapat lagi lulusan dalam bidang ini secara khusus di Malaysia dan yang kedua pelajar telah dilatih daripada aspek teori dan latihan penyelidikan yang mendalam melalui penyelesaian tugasan-tugasan sepanjang tempoh pengajian. Perspektif ini, akan menjadikan para graduan mempunyai kebolehan dan daya saing yang tinggi apabila berada di pasaran pekerjaan.

Pengajian IDEAL sebagai pelengkap

Pegawai Tadbir Unit Saraan, Pencen dan Penilaian, Jabatan Kerja Raya Sabah, Encik Mohd Diah Wahari berkata "Kehadiran IDEAL di Sabah merupakan pelengkap kepada IPTA yang di negeri Sabah di samping kos pengajian secara relatifnya rendah berbanding mengikuti pengajian yang di adakan di Semenanjung yang sudah tentunya terpaksa pelajar membeli tiket penerbangan dan menyewa penginapan setiap kali menghadiri kuliah". Pendapat beliau ini disokong oleh Encik Martin Logo, seorang penuntut bidang bacelor komunikasi tahun tiga "pendekatan IDEAL mengadakan pusat-pusat pebelajaran di setiap negeri di Malaysia bukan sahaja memudahkan pelajar yang berkerja menghadiri kelas tutorial seperti yang dijadualkan tetapi juga secara tidak langsung mengurangkan kos pembiayaaan pembelajaran berbanding pelajar PJJ di Universiti lain yang terpaksa menghadiri kuliah di Induk universiti berkenaan". Encik Abdul Gary Itam, salah seorang pegawai tadbir kanan negeri, menambah " IDEAL di Sabah akan menjadi pesaing kepada IPT Lain, hal ini sudah tentu akan mendorong IPT-IPT di Sabah menyediakan program-program yang lebih berkualiti di samping mutu pendidikan ditingkatkan."

Harapan pelajar dan bekal pelajar PJJ

Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Dan ini sekaligus membuktikan bahawa tiada jalan singkat untuk berjaya. Walaupun apapun alasan, perkara penting harus diberi perhatian ialah di samping pelajar IDEAL mempunyai iltizam dan bekerja keras untuk terus berjaya , IDEAL sewajarnya menyedari dan memperlengkapkan segala kekurangan dari aspek kelemahan pengurusan pentadbiran dan kemudahan sokongan pembelajaran serta IDEAL juga harus menghakis persepsi negatif masyarakat terhadap status kursus yang ditawarkan dan keupayaan pelajar PJJ Bacelor Komunikasi. Daripada perspektif pelajar, saya berkeyakinan perkara di atas dapat ditingkatkan lagi mengikut cadangan seperti berikut;

1. Aspek pengurusan pentadbiran dan logistik,

IDEAL boleh meningkatkan dan menyediakan keselesaan bilik tutorial, modul yang lengkap dan mencukupi kepada pelajar sebelum pengajian di mulakan. Jadual-jadual perjumpaan bersemuka dengan pensyarah haruslah anjal dan ditepati. Menyediakan tutor yang benar-benar pakar tentang subjek yang ditawarkan agar mereka dapat membimbing pelajar lebih berkesan lagi.

2. Aspek kemudahan dan sokongan pembelajaran,

Sebagai contoh, Jika IDEAL ingin menawarkan kursus komputer dan kursus bidang penyiaran maka pada masa yang sama, sewajarnya IDEAL menyediakan kelengkapan terkini seperti makmal komputer dan peralatan penerbitan "production house" agar para pelajar dapat mengunakan alat-alat berkenaan secara aplikasi, sistematik dan berkesan.

3. Menangkis persepsi negatif masyarakat,

Sementara prestasi pelajar dinilai dari segi pencapaian akademiknya , IDEAL harus memberi keyakinan dan kepercayaan kepada masyarakat tentang kualiti dan keupayaan pelajar PJJ, bahawa mereka juga setanding dengan pelajar sepenuh masa. Menurut pengalamanan saya di sepanjang pengajian, khususnya di peringkat awal pengajian, ramai masyarakat luar kampus dan juga rakan sekursus mengeluh tentang kekeliruan soal pengiktirafan sijil bacelor komunikasi yang bakal dikeluarkan setelah tamat pengajian samada diiktirafkan oleh pihak kerajaan atau sebaliknya, terutama rakan-rakan daripada kalangan guru. Apa yang menyedihkan, ada antara mereka berhenti meneruskan pengajian dan ada juga yang beralih ke universiti lain untuk meneruskan pengajian kepada bidang lain. Fenomena ini berlaku kerana mereka tidak mendapat penjelasan sewajarnya daripada pengurusan atasan IDEAL.

Dengan adanya sistem pendidikan berkonsepkan PJJ melalui Institusi Pendidikan dan Pembelajaran Jarak Jauh, Universiti Putra Malaysia khususnya di negeri Sabah, diharapkan IDEAL akan melahirkan graduan yang berkualiti, berdaya maju, berketrampilan dan idealistik Perspektif ini perlu diambil kira bagi memenuhi hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini. Semoga IDEAL-UPM Sabah dapat merangsang perkembangan ilmu ke era yang lebih gemilang dan sekaligus merealisasikan hasrat kerajaan agar menjadi kenyataan.

Rujukan

Ideal (1999/2000). Buku Panduan 1999/2000. Institut Pendidikan dan Pembelajaran Jarak Jauh Institut for Distance Education and Learning (IDEAL) Universiti Putra Malaysia.

Ideal (2000/2001). Buku Panduan 1999/2000. Institut Pendidikan dan Pembelajaran jarak Jauh Institut for Distance Education and Learning (IDEAL) Universiti Putra Malaysia.

Ideal (ISSN 1511-3825). Putra Ideal. Institut Pendidikan dan Pembelajaran Jarak Jauh Institut for Distance Education and Learning (IDEAL) Universiti Putra Malaysia.