UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
IDEAL-UPM SABAH, KOTA KINABALU

KOM3302, AMALAN DAN PRINSIP KEWARTAWANAN
TUGASAN 2:
sebelum balik depan
Pensyarah : Muhamad Rosli Selamat
Disediakan: Hajimin Hj.Maslin, J05475, B.Comm 5

PENGENALAN

1.1 Peranan Media dan Wartawan, Konteks Umum:

Fokus utama kertas perbincangan ini ialah peranan media khususnya akhbar dan wartawan dalam konteks Malaysia. Penetapan tersebut kerana keempat-empat teks ucapan yang dijadikan rujukan dalam modul KOM3302 adalah lebih tertumpu kepada media akhbar dan wartawan. Menurut Ibnu Khaldun yang dilaporkan oleh Mansor Ahmad Saman ( 1995), Ibnu Khaldun menyenaraikan antara petua untuk menjadi seorang wartawan yang baik ialah berkebolehan mengkaji dan menganalisis segala peristiwa yang dilapor dari sudut punca, pengaruh dan kesan ke atas masyarakat, berkebolehan mengumpul maklumat dari sumber-sumber tertentu bagi memahami dan mentafsir masyarakat yang diawasi, memahami watak, corak dan peristiwa yang dihasilkan ke atas masyarakat dan yang keempat membuat pengadilan moral ke atas apakah yang baik dan buruk ke atas masyarakat.

Sementara peranan media daripada aspek sosial dan psikologi, menurut Mohd.Hamdan Haji Adnan (1995) ialah sebagai teman membawa pelbagai berita dan maklumat terkini, mengisi masa lapang, mengubat kesepian, mengubat kekecewaan, membina dan memberi harga diri, memberi pengaruh, memberi ilham dan perangsang dan membantu mencari penyelesaian. Tambahnya lagi, dalam jangka masa panjang, hubungan antara media dan masyarakat "khalayak" ditentukan oleh faktor ilham, dan faktor pergantungan antara satu sama lain.

Persoalannya ialah apakah darjah kebergantungan ini dalam konteks peranan kepada pembangunan negara sesuatu bangsa?. Mengikut A.Samad Ismail dalam syarahannya mengenai kebebasan Akhbar:Dimana Kita? di Universiti Sains Malaysia pada 6 Oktober 1989 , akhbar ialah salah satu bahagian daripada anggota masyarakat,rakyat, negara dan bangsa, ibarat lagu dan irama, jika dipisahkan maka pincanglah ia. Dalam konteks umum, pendapat mereka di atas sama ada pendapat sebagai ahli pemikir Islam, ahli pendidik atau penulis adalah sehaluan dengan pendapat dengan kepimpinan negara ini, di mana Datuk Seri Dr.Mahathir bin Mohamad melalui ucapannya pada 18.7.98, "Akhbar sebagai pembina" antara lain beliau menyentuh bahawa akhbar boleh membentuk fikiran rakyat dan pemimpin ke arah pembentukan moral yang baik atau buruk. Yang sememangnya, asas-asas utama kepada pembangunan sesuatu bangsa dan negara itu ialah hendaklah bermula kepada pembinaan dan pembentukan keintelektualan minda rakyat dan pemimpin yang lebih objektif barulah disusuli kepada pembangunan-pembangunan fizikal yang lain. Jika tidak, lihatlah natijahnya seperti negara Rwanda, Somolia, Habsah dan Afgnistan tidak dapat membangun dengan sewajarnya kerana rakyatnya sentiasa berperang sesama sendiri, begitu juga dengan sejarah keruntuhan tamadun Islam di Melaka akibat mempunyai para pemimpin yang moralnya rendah, tamak, rasuah dan tidak lagi mempedulikan aspirasi rakyat. Akhirnya, Portugis dengan mudahnya menakluki Melaka pada 1515 di ikuti Belanda 1641, British 1874 dan Jepun 1942 dan kemudiannya British semula sebelum merdeka pada 1957. Natijahnya, negara ini dijajah selama 434 tahun lamanya.

1.2 Peranan Media dan Wartawan, Konteks Malaysia:

Apa pun juga alasan di atas, persoalannya ialah apakah peranan media akhbar dan wartawan dalam konteks negara Malaysia moden dan apakah pula saranan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang tanggungjawab media dan wartawan terhadap pembangunan negara ini? Sesungguhnya persoalan ini telah terjawap melalui hasrat dan ungkapan ucapan kedua-dua tokoh yang seangkatan tetapi mereka berada dalam aliran yang berbeza , iaitu Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (Politik) dan A.Samad Said (Penulis). Apa yang menjadi nadi persoalan dalam ucapan mereka ialah apakah media akhbar dan wartawan dapat melapor dan menyalur maklumat yang lebih bertanggungjawab, objektif dan sensitif kepada masyarakat yang berbudaya seperti di negara ini? Sememangnya dalam ucapan kedua-dua tokoh ini, mereka telah membangkitkan peranan media dan wartawan dalam sistem sosial di Barat dan di Timur seperti keadilan, kuasa dan kebebasan. Namum apakah perjuangan-perjuangan akhbar dan wartawan di Barat dapat disesuaikan dengan asas-asas dan prinsip-prinsip sistem sosial di negara ini? Persoalan-persoalan inilah yang akan dijadikan agenda-agenda perbincangan selanjutnya, dengan mengambil perspektif peraturan sejadi dan perspektif peraturan ciptaan manusia.

Perlembagaan Negara,ian II:

1. Perkara (1) Tiada seseorang pun yang boleh diambil nyawanya atau dilucut kebebasan dirinya, kecuali menurut undang-undang.

Firman Allah yang bermaksud:

1. "Janganlah sekali-kali kamu terpedaya oleh kebebasan orang-orang kafir bergerak dalam negeri" - Surah Ali ‘Imran - 196.

Malaysia adalah sebuah negara berperlembagaan dan berdaulat tetapi mempunyai sebuah masyarakat yang unik. Ini menunjukkan negara ini harus diurus tertakluk kepada keluhuran undang-undang negara sendiri dan perlu peka kepada perasaan kepelbagaian kaumnya . Ada pepatah mengatakan "Hanya jauhari yang mengenal manikam". Sememangnya kata-kata hikmat ini telah memberi kekuatan dan semangat rakyat Malaysia terus berusaha kearah pembentukan negara maju dan rakyat yang bersatu padu. Maka sewajar akhbar dan wartawan melaksanakan peranan mereka sesuai dengan situasi di Malaysia. Harapan ini, tidak bermakna menafikan kebebasan berakhbar tetapi meletakkan akhbar dan wartawan yang bebas tetapi harus beretika, lebih objektif dan lebih bertanggungjawab sesuai dengan nilai-nilai masyarakat dan undang-undang negara ini.

Lihatlah kepada perspektif agama-agama samawi khususnya Islam, manusia perlu dibimbing dan diperingatkan untuk membuat kebaikan dan meninggalkan larangan. Sebuah hadits yang bermaksud:

"...... Rasulullah s.a.w bersabda: Mengenai kaldai, tidak ada sesuatu pun iaitu Wahyu diturunkan kepadaku, kecuali ayat al-Fazzah al-Jami'ah: Yang bermaksud: Sesiapa yang melakukan kebaikan sekalipun seberat zarah, nescaya dia akan mendapat balasannya dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sekalipun seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya juga".

Dalam era globalisasi dengan minda wartawan yang boleh berada dalam krangka pemikiran Timur dan Barat, namun nilai dan norma kehidupan sesebuah masyarakat wajar diberi perhatian. Wartawan dan berita harus sensitif kepada nilai sesuatu bangsa daripada aspek " budaya, aspirasi, bangsa, agama, keselamatan, perpaduan, keharmonian hidup dan bertoleransi ". Sesungguhnya, kebebasan secara hakiki tidak pernah tersenarai dalam sejarah tamadun manusia apatah lagi mengikut hukum Allah. Ini terbukti dalam firman Allah dari surah Al-Imran ayat 196 yang tersebut di atas. Oleh itu, peranan akhbar dan wartawan hendaklah mengambil perspektif berikut:

BUDAYA

Menurut Jaafar Muhamad (Edisi ketiga, 1997), Vijay Sathe menyatakan budaya ialah satu set kesefahaman utama yang dikongsi bersama dalam sesebuah masyarakat. Dalam makna yang mudah, budaya ialah suatu gaya kehidupan yang diterima oleh sesuatu masyarakat atau kaum, sama ada dalam bentuk masyarakat organisasi atau masyarakat komuniti.

Dalam konteks Malaysia, bangsa Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik yang mempunyai variasi budaya dan set kepercayaan tetapi bangsa Malaysia dapat disatukan melalui satu kebudayaan bangsa Malaysia yang luhur dan diterima oleh semua kaum, iaitu rukun negara. Semua intisari nilai-nilai kebudayaan kaum-kaum di Malaysia tidak bercanggah dengan rukun negara. Contohnya, kepercayaan dan kebebasan beragama, bersuara, kebebasan berakhbar, berbudaya dan sebagainya, jelas dibenarkan tetapi diamal dan dipraktikkan menurut kesopanan dan kesusilaan dan sebagainya.

Tragedi 13 Mei 1969 adalah natijah paling besar kaum dan negara kerana rakyat telah meminggirkan nilai-nilai kerukunan ini dimana para pemimpin terlalu bebas bercakap secara emosional dan disemarakkan lagi oleh akhbar-akhbar yang tidak bertanggungjawab. Mari kita renung sejenak, apa akan terjadi sekiranya pihak akhbar cuba mensensasi kata-kata pemimpin ini di akhbar?

Lim. Guan Eng dalam kempen pilihan raya tahun 1986, berkata: " mengenai isu satu bahasa satu kebudayaan, saya mengkritik tindakan kerajaan BN mewujudkan satu bahasa satu kebudayaan sebagai "unconstitutional" dan kerajaan BN nampaknya cuba memansuhkan kebudyaan golongan minoriti dan bahasa ibunda kaum yang lain."

Jika kenyataan-kenyataan ini, dibesar-besarkan di akhbar, sudah tentukan menyemarakkan semangat kaum lain. Khususnya kaum Melayu yang sememangnya sinonim dengan agama Islam dan penduduk Bumiputra.

ASPIRASI

Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi , di mana suara kaum majoriti haruslah diutamakan tetapi suara kaum minoriti pula tidak diketepikan. Walaupun aspirasi kaum-kaum ini dapat disalurkan melalui institusi politik seperti UMNO, MIC, MCA, SUPP, SNAP, PBRS, PBDS, persatuan-persatuan kaum tetapi akhbar juga mempunyai peranan tersendiri. Melalui akhbar, kerajaan telah memberi lesen kepada organisasi-organisasi penerbitan akhbar-akhbar mengikut kaum. Antara sejarah kemunculan akhbar di Malaysia ialah Utusan Malaysia (1967), Utusan Melayu (1957); Jawi Peranakan (1876); Al-Imam (1906); Warta Malaya (1930), Lat Pau (1881); Penang Sin Poe (1846); Tam Koh Kee (1923); Kwang Wan Yit Poh (1936); Nanyang Siang Pau dan Sin Chew Jit Poh (1923), Pi Hun Pei Boo (1934) dan akhbar Kin Kwak daily News (1942), Singai Warthanani (1875); Ulaga Nesan (1877); Tamil Nesan (1923); Tamil Murasu (1930); Tamil Malar (1960) ditukar (Thinamani) (1970) dan Tamil Osai (1970), The Prince of Wales (1805); The Straits Times (1845); Sabah Times (1952).

Antara beberapa tujuan penerbitan ini dahulu dan sekarang ialah akhbar Melayu sebagai saluran penyebaran semangat nasionalisme Melayu sebelum merdeka dan kesedaran politik Melayu manakala kebanyakan akhbar Cina ialah menyumbangkan berita mengenai kesedaran politik untuk kaum Cina. Akhbar-akhbar dwi bahasa pula seperti Sabah Times, Borneo Mail, Daily Express di Sabah ialah untuk membolehkan mesej dan aspirasi rakyat dapat disalur dengan berkesan. Contoh-contoh aspirasi rakyat mendapat tempat di akhbar, adalah seperti berikut:

1. "Sebagai rakyat Malaysia yang inginkan kemajuan cemerlang serta pulangan produktif kepada negara, saya mencadangkan supaya cuti mingguan kerajaan sektor awam dan swasta diselaraskan...." Mohd Ibnu Hassan Sungai Petani Kedah. (Utusan malaysia. 1 Januari 2001 muka surat10.)

2. "......saya sendiri menerima layanan baik dan mesra ketika mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang baru-baru ini....". Miseri Ngadimin. (Berita Harian 11 November 2000. muka surat 32).

3. "..... saya sedih apabila ada pihak yang mengupah pihak yang sememangnya memusuhi Malaysia dari negara-negara luar untuk meruntuhkan kemajuan Islam di Malaysia. Alangkah bodoh golongan ini, hanya kerana mengajar keuntungan politik dan hawa nafsu, negara, bangsa serta agama hendak digadai....." Mohd Hilmi Alham. (Mingguan Malaysia 31 Disember 2000. muka surat 8).

BANGSA

Menurut K.Ramanathan (1988), bangsa dari persepktif konsep politik ialah suatu kumpulan sosial yang mempunyai persamaan ideologi, institusi dan wujud rasa dimiliki dalam sesuatu kawasan sendiri (negara). Dalam konteks sosial, ideologi dan peranan akhbar dahulu dan sekarang masih menonjolkan kepentingan sesuatu kaum. Hakikat ini amat jelas dalam penggunaan bahasa- bahasa ibunda di akhbar-akhbar seperti bahasa Cina, Melayu, Tamil, Bahasa Kadazan dan di samping menyediakan laporan berita mengenai kesedaran, pengiktirafan dan pemerhatian berkaitan dengan kepentingan untuk kaum-kaum tertentu. Contohnya ialah:.

1. "... Usahawan Melayu adalah ahli perniagaan sejati dan mereka benar-benar berinovasi dalam menjalankan perniagaan dan menerokai peluang perniagaan baru. Malangnya, disebabkan persediaan dan pengetahuan yang kurang mengenai bidang perniagaan diterokai, menyebabkan ramai usahawan Melayu ketinggalan dan terpinggir daripada arus perdana perniagaan di negara ini". Datuk Syed Amin Al-Jefri, yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). (Berita Harian 30 Dismber 2000. muka surat 22).

2. " ..Penguasaan lebih daripada satu bahasa adalah satu kelebihan dan tidak patut dianggap salah kerana ia mampu mengangkat darjat seseorang...., orang Melayu yang berpendapat berbahasa Inggeris sebagai tidak patriotisme adalah kuno kerana mereka tidak berfikiran terbuka untuk menerima bahasa itu sebagai bahasa antarabangsa. Kaum Cina di Malaysia juga menggunakan bahasa Cina berserta dielek masing-masing untuk urusan tidak rasmi dan berbahasa inggeris ketika di pejabat.." Prof.Di Raja Ungku Aziz. Berita Harian 30 Disember 2000. muka surat 2.

KELUHURAN BERAGAMA

Bahagian 2 perlembagaan Malaysia memperuntukkan di bawah (kebebasan Asasi), perkara 11fasal (1) tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya. Dalam situasi dan isu-isu sensitif seperti hak dan agama sesuatu kaum, tidak wajar dibicarakan secara terbuka seperti di akhbar, walaupun tidak dapat dinafikan bahawa masih terdapat isu-isu agama jadi perdebatan dalam akhbar seperti Islam Pas dan Islam Umno, dua imam dan sebagainya, tetapi pertikaian ini lazimnya dilakukan oleh mereka dari rumpun bangsa yang sama. Jika tidak, najtijahnya amat buruk sekali andai kaum lain berhasrat berhujah mengenainya. Salah seorang pemimpin pembangkang, P.Patto, Timbalan Setiausaha Agung DAP pada 17 Mac 1984, pernah berkata " ....bahawa kerajaan mengamalkan polisi satu bangsa, satu bahasa dan agama yang tujuannya menjadikan Malaysia negara Islam". Jika kenyataan diatas disiarkan melalui media akhbar dan disalah tafsirkan, maka sudah tentu bicara tersebut akan mencetuskan kekecohan dalam negara dan akhirnya rakyat sendiri akan menderita.

KESELAMATAN

Peranan akhbar dan wartawan mengenai keselamatan pula adalah lebih kepada persepktif menjadi pemerhati dan seterusnya memberi amaran kepada rakyat. Sebagai pemerhati dan pemberi amaran, akhbar melapor berita dengan cekap dan pantas berbanding penerangan melalui ceramah, mesyuarat, majlis perjumpaan rakyat dan sebagainya. Jestru itu, suatu laporan berita haruslah teliti dari segi sumber, fakta dan kebenaran agar dapat dimanfaati oleh rakyat secara berkesan.Contoh mesej-mesej penting pemimpin dalam bentuk pemberitahuan dan amaran adalah seperti berikut:

1. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawai hari ini mengarahkan Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Tun Hussein, membatalkan debat mengenai hak keistimewaan orang Melayu dengan Ketua Pemuda Pas, Mahfuz Omar. (Berita Harian 8 Januari 2001:muka depan).

2. Sebahagian ahli gabungan pelajar Melayu Semenanjung berhimpun di Padang Merbok sebagai membantah tindakan Suqiu yang mempertikaikan hak istimewa orang Melayu (Bergambar). (Berita Minggu 31 Disember 2000: muka surat 13).

Berdasarkan mesej-mesej kepimpinan dan rakyat jelata tersebut di atas maka dalam konteks umum di Malaysia, keselamatan bangsa dan negara dapat dicapai melalui agenda-agenda atau dasar-dasar kerajaan serta seterusnya agenda-agenda ini disokong dan mendapat laporan yang bersepadu daripada pihak akhbar , antara agenda itu ialah:

a. Perpaduan

Konsep perpaduan ialah satu proses mengwujudkan satu identiti nasional di kalangan kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Dengan adanya konsep dan dasar ini, sebagai mata dan telinga masyarakat, akhbar dan para wartawan mempunyai tanggungjawab besar untuk membantu kerajaan menyalurkan mesej-mesej perpaduan kepada rakyat dengan sewajarnya. Dasar-dasar perpaduan ini bermaksud:

1. Perpaduan kebudayaan:

Mencapai perpaduan melalui program-program kebudayaan. Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971) digubal utuk tujuan perpaduan ini.

2. Perpaduan wilayah:

Mengandungi pembangunan ekonomi yang sama rata di antara kawasan, negeri dan wilayah yang maju dan kurang maju.

3. Perpaduan ekonomi:

Perkongsian ekonomi yang sama rata antara kaum. Penggubalan DEB dan DPN untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

4. Perpaduan pendidikan:

Semua rakyat dapat menikmati kemudahan pendidikan yang sama dan mewujudkan perpaduan melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan.

5. Perpaduan sosial:

Satu proses pencapaian perpaduan melalui kemudahan sosial seperti pendidikan, perumahan, kesihatan, air, elektrik dan lain-lain untuk semua rakyat.

b. Keharmonian hidup dan toleransi

Salah satu kunci ke arah pembentukan kehidupan yang harmoni khusus bagi masyarakat yang pelbagai etnik ialah masyarakat itu sendiri mempunyai pemikiran yang toleransi. Ini penting kerana jika sikap seperti ini diketepikan seperti mementingkan diri sendiri dan tidak memahami kepentingan pihak orang lain maka wujudlah satu kehidupan masyarakat yang penuh dengan was-was dan konflik. Lampiran A merupakan beberapa sejarah hitam negara ini dan kemuncaknya ialah peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu fenomena yang amat sagnifikan bagi masyarakat yang tiada toleransi. Pengajaran dan natijah daripada peristiwa ini ialah berlakunya kerosakan harta benda dan nyawa, perintah darurat dan keuntungan musuh negara (komunis). Sebagai mencegah peristiwa ini berulang semula maka perlulah wujud beberapa dasar kearah perpaduan nasional seperti mengwujudkan keadilan ekonomi antara kaum seperti DEB, bahasa kebangsaan, rukun negara, politik melalui konsep barisan nasional, penguatkuasaan undang-undang (ISA), dan integrasi nasional dan muhibbah.

Walaupun kerajaan mempunyai beberapa agenda perpaduan kaum tetapi beberapa cabaran perpaduan Malaysia masih terus wujud, implikasi dasar pecah dan perintah pihak penjajah yang meliputi pelbagai aspek di bawah ini yang seharusnya ditangani oleh seluruh masyarakat Malaysia secara berhati-hati terutama pihak akhbar apabila membuat laporan berita mengenainya, iaitu:

1. Pengasingan penempatan mengikut kegiatan ekonomi. Misalnya kaum Cina di kawasan perniagaan di bandar-bandar, kaum India di ladang getah manakala kaum Melayu di kawasan pertanian luar bandar.

2. Pengasingan agama, Melayu Islam, India Hindu, Cina Buddha dan Kristian.

3. Pengasingan sistem pendidikan, mempunyai sekolah mengikut kaum.

4. Akhbar diterbitkan pelbagai bahasa untuk kepentingan sesuatu kaum.

5. Persatuan ditubuhkan mengikut kaum.

6. Parti-parti politik ditubuh untuk kepentingan kaumnya .

7. Natijah Pemerintahan Jepun di Malaya, Jepun mahu orang Melayu dijadikan askar dan polis untuk menentang Cina menganggotai Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA). Menyebabkan rasa tidak puas hati antara kaum.

8. Tradegi 13 Mei 1969, adalah peristiwa hitam antara Melayu dan Cina, akibat rasa tidak puas hati berkaitan ekonomi, politik, kebudayaan, kerakyatan, ketaatsetiaan dan sebagainya yang dibangkitkan dalam kempen-kempen pilihanraya 1969.

KESIMPULAN:

Ramai sepakat termasuk ahli pemikir Islam, pendidik, kepimpinan negara dan penulis. Tanggungjawab dan peranan akhbar dan wartawan adalah melaporkan perkara yang benar dari segi fakta dan sumbernya. Jika suatu laporan berdasarkan khayalan dan fakta yang dimanipulasi, sudah tentu akan memberi implikasi yang tidak wajar kepada masyarakat. Menurut Kementerian Dalam Negeri (14 Mac, 1988) akhbar memainkan peranan yang sangat penting di dalam masyarakat dengan menyampaikan berita, memberi ulasan, menyiarkan pendapat pembaca mengenai perkara-perkara tertentu, dan sebagainya. Akhbar juga mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk pendapat awam atau "public opinion". Pemilik akhbar berperanan memuatkan perkara-perkara yang dipilih sebagai berita, penonjolan, pendapat, rencana untuk mempengaruhi pembaca dan mendesak kerajaan, sebaliknya media akhbar juga boleh mewujudkan suasana dan keadaan yang menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam. Dalam negara yang bermasyarakat majmuk dan unik, masyarakat mengharapkan akhbar dan wartawan menjadi satu saluran untuk menwujudkan hubungan dan keyakinan rakyat terhadap apa juga dasar-dasar pembangunan negara untuk faedah rakyat seluruhnya. Bukan sahaja dari segi pembangunan fzikal tetapi yang lebih penting ialah pembangunan minda dan spritualiti masyarakat. Sesuangguhnya, kekuatan dan keunggulan pembangunan sesebuah masyarakat dan negara adalah bermula kepada pembangunan minda dan spritual masyarakat atau sistem sosial itu sendiri.

###

RUJUKAN:

1. Mansor Ahmad Saman (1995). Penulisan & Media. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Mohd.Hamdan Haji Adnan (1995). Pendapat Umum. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

3. Malaysia Kita (1991). Kuala Lumpur:

INTAN.

4. Jaafar Muhmad (Edisi Ketiga, 1997). Kelakuan Organisasi.Kuala Lumpur.

Leeds Publications.

5. Mohd Ibnu Hassan (2001,Januari 1). Syor kaji selaras cuti minggu.

Utusan Malaysia. , p.10

6. Miseri Ngadimin (2000, November 11). Tidak semua kakitangan hosiptal bersikap kasar.

Berita Harian ,p. 32).

7. Mohd. Hilmi Alham (2000, Dismber 31). Skinhead sedih Nasib orang Islam.

Mingguan Malaysia,p. 8

8. Usahawan Melayu tetap gigih. (2000, Disember 30).

Berita Harian, p. 22).

9. Mohd Hamizar Hamid (2000, Dismber 30). Penguasaan bahasa lain pertingkat kemampuan.

Berita Harian ,p. 2.

10. Ridzuan Yop (2001, Januari 8). Hentikan Debat: Pak Lah.

Berita Harian, p.1.

11. Kamal Ahmad (2000, Dismber 31). Jangan biar kemelut 2000 berlarutan.

Berita Minggu, p.13).

LAMPIRAN A

Tarikh Kejadian

01 Ogos 1945 Pergaduhan Melayu dengan Cina Malayan People’s Anti Japanese Armay (MPAJA) di parit Jawa, Muar, Johor.

21 Ogos 1945 Pergaduhan antara Kumpulan Kiyai Salleh Abdul karim dengan orang-orang Cina/MPAJA di Ayer Hitam, Johor.

Mei - Ogos 1945 Pergaduhan antara Melayu dengan Cina/MPAJA di Batu Pahat, Johor.

15 Ogos - 15 Sept 45 Pergaduhan orang-orang melayu dengan orang Cina/MPAJA di Sungai Manik, Perak. Menyebabkan orang-orang Cina melarikan diri ke Teluk Intan, Perak.

27 September 1945 Pergaduhan Cina dengan Melayu di Alor Gajah, Melaka.

28 September 1945 Pergaduhan Cina dengan Melayu di Senggarang, Johor.

6 November 1945 Pergaduhan Cina dengan Melayu di Padang Lebar, Negeri Sembilan, 35 orang Cina terbunuh.

Disember 1945 Pergadunan Cina dengan Melayu di Ayer Tawar, Layang-Layang Kiri, Bruas dan Lambor Kanan, kesemuanya di Perak. Telah mengorbankan lebih seratus nyawa orang Melayu dan Cina.

Februari 1946 Pergadunan di Raub, Pahang. 30 0rang Cina dan 2 orang Melayu terbunuh.

Februari/Mac 1946 Pergadunan di Bekau, Kuala Kangsar. Seramai 70 orang Melayu terbunuh.

29 Disember 1946 2 orang Cina terbunuh di Bruas, Perak berpunca dari pada penculikan 2 budak Melayu pada 20 Disember 1948. Berikutannya pada 30 Disember 1948, sekumpulan 20 orang Cina yang bersenjata telah menyerang dan membakar beberapa buah rumah kepunyaan orang Melayu di Kampung Ampang, Bruas. Seorang lagi Melayu ditembak mati oleh penyerang-penyerang tersebut manakala sebilangan yang telah tercedera.

24 Ogos 1950 Beberapa orang Cina telah terbunuh di Relau, Kedah. Ini adalah berikutan dengan pembunuhan seorang Ahli Majlis Kerja Negeri Kedah berbangsa Melayu.

21&22 Nov 1950 7 orang Cina terbunuh serta 40 rumah kepunyaan Cina dibakar di Bukit Selambau Kedah berikutan pembunuhan seorang Polis Konstabel Tambahan Melayu.

27 Januari 1951 Beberapa orang Cina dibunuh dan beberapa buah rumah mereka di Kampung Tanjung Setoi, Bukit Janun, Kedah turut dibakar. Berikutan dripada kejadian ini, dua orang Melayu dijatuhkan hukuman gantung disamping beberapa orang Melayu lagi menjalani hukuman penjara.

19 Februari 1952 4 orang Cina dewasa dan 3 lagi kanak-kanak Cina terbunuh dalam satu kejadian di Mahang, Kulim, Kedah. Rumah-tumah mereka turut dibakar.

29 Februari 1952 6 orang Cina telah terbunuh dalam satu pergaduhan di Relau, Kedah disamping 7 buah rumah kepunyaan Cina turut dibakar. Pembunuhan ini berpunca dari pembunuhan seorang Anggota Polis Khas berbangsa Melayu.

7 Januari 1957 Semasa perarakan sempena perayaan penganugerahan status Bandaraya Georgetown, satu pergaduhan telah tercetus antara orang-orang Cina dan Melayu berikutan dengan wujudnya salah faham antara kaum Cina dan Melayu mengenai perarakan tersebut. Antara 2 hingga 8 Jan 1957, seramai 4 orang terbunuh dan 48 orang tercedera.

1 Mei 1959 Pergaduhan yang melibatkan sekumpulan orang Melayu bertempur di Mesjid Pulau Pangkor dengan 60 orang Cina. Kedua-dua pihak membawa senjata. Ianya berpunca dari satu perkelahian antara seorang Cina dengan seorang pemuda Melayu. Seorang Melayu telah terbunuh dan 5 lagi tercedera. Sebuah kongsi Cina dan 4 buah rumah Cina turut dibakar. Perintah berkurung dikenakan sebagai langkah pencegahan.

11 Julai 1964 Satu pergaduhan yang melibatkan 30 orang Melayu dan Cina tercetus di Bukit Mertajam yang berpunca daripada satu perkelahian kecil di pasar antara seorang pekerja berbangsa Melayu dengan seorang penjual syur berbangsa Cina. Dalam kejadian ini, seorang Melayu dan seorang Cina lain telah terbunuh dan beberapa orang tercedera. Perintah berkurung dikenakan selama 10 hari.

24 November 1967 Pergaduhan Melayu dengan Cina di Pulau Pinang berikutan isu penurunan nilai ringgit. Beberapa orang telah terbunuh dan tercedera. Beberapa buah rumah dan kenderaan turut dibakar. Pergaduhan ini telah merebak ke Bukit Mertajam, Perak Utara dan Kedah.

24 April 1969 Ketegangan kaum telah wujud apabila seorang pekerja UMNO telah dibunuh di Pulau Pinang oleh anasir-anasir subversif. Pergaduhan hampir-hampir tercetus.

13 Mei 1969 Pergaduhan kaum Cina dengan Melayu yang paling serius bermula di Kuala Lumpur. Bahangnya terasa di seluruh Semenanjung. Berpunca daripada kempen-kempen politik berbau perkauman dan eksploitasi komunis. Perintah berkurung telah dikuatkuasakan. Seramai 248 orang melayu, Cina, India dan lain-lain telah terbunuh dalam peristiwa ini.