UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
IDEAL-UPM SABAH, KOTA KINABALU

DIMENSI BAHASA DAN AGAMA ANTARA PERSPEKTIF
MERUBAH IDENTITI DAN SISTEM KOMUNIKASI SOSIAL (KEBUDAYAAN)
ETNIK DUSUN DI SABAH:
(Satu kajian kes di Kampung Lingkudau, Ranau)
sebelum balik depan
Pensyarah: Dr. Ezhar Tamam

Disediakan oleh:
Hajimin Hj. Maslin, Dayang Hirdawaty Maarof , 
Yusof Rashman, Hasiah Hasnah Laumin dan  Amirin @ Peter Dani

upmkumpulan.JPG (47092 bytes)

PENGENALAN

1.1. Latarbelakang kajian

Negeri Sabah atau sinonimnya dengan panggilan Negeri di Bawah Bayu mempunyai satu bangsa Malaysia yang terdiri daripada 30 kumpulan etnik dengan tidak kurang 50 kumpulan bahasa dan 90 dialek sebagai alat sistem komunikasi sosialnya. Lebih tiga puluh daripada bahasa itu dimiliki oleh kaum bumiputera Sabah yang mempunyai kepelbagaian budaya dan kepercayaan seperti Murut, Bajau, Rungus, Latod, Irranun, Talantang, Sonsogon, Likabau, Garoh (Kimaragang), Tinagas, Idahan, Sungai dan Dusun. Menurut Dr. Jacqueline Pugh-Kitingan (1987) Institut Linguistik S.I.L melaporkan bahasa-bahasa tempatan ini dipercayai termasuk dalam bahasa Austronesian keturunan Bornean dari keturunan asal Austronesian. Sejumlah 350 ribu atau 1/3 daripada penduduk Sabah terdiri daripada kaum Dusun serta membentuk kebudayaan yang dinamik di negeri Sabah (Kitingan, 1982). Dusun kebanyakannya tinggal di Keningau dan Ranau (Ismaily Bungsu, 1988). Menurut Dr. Jacqueline Pugh-Kitingan (1987) masyarakat Dusun mempunyai asas kesamaan sistem sosial daripada aspek sejarah lisan, struktur sosial, keturunan, kepercayaan, pertanian, bahan-bahan kebudayaan, agama dan amalan adat istiadat adat resam.

1.2. Kenyataan Masalah Kajian:

Sistem sosial masyarakat Dusun yang kaya dengan budaya dan adat resam yang diwarisi sejak berzaman lagi telah menjadikannya sebagai suatu lambang keunikan, identiti, keunggulan dan perpaduan kaum masyarakat ini tetapi dari aspek interaksi atau komunikasi sosial, mereka menggunakan komunikasi bahasa yang berbeza. Golongan tua dan juga golongan muda lebih kerap menggunakan bahasa pertuturan seharian yang tidak selaras dengan bahasa ibunda walaupun berinteraksi antara ahli keluarga sendiri. Situasi ini menggambarkan bahawa terdapat suatu ketidakselarasan masyarakat Dusun dalam usaha memelihara bahasa ibunda sebagai identiti bangsa, budaya dan tradisi. Manakala dari aspek agama pula, kebanyakan kaum Dusun beragama ardli asal yang kaya dengan warisan budaya dan adat resam nenek moyang tetapi kini tidak lagi diamalkan setelah masyarakat Dusun menganut agama samawi. Situasi dan fenomena ini juga menggambarkan bahawa masyarakat Dusun, sebenarnya mempunyai suatu kebudayaan tidak tekal dan rapuh malah terus berubah mengikut aliran perubahan zaman yang tidak pasti kesudahannya.

1.3 Objektif Umum

Objektif umum ialah mengenalpasti sejauh manakah pengaruh dimensi bahasa dan agama antara perspektif merubah identiti dan sistem komunikasi sosial masyarakat Dusun di Sabah. Sementara objektif khususnya ialah ingin mengetahui apa bahasa dan agama serta bagaimanakah dimensi-dimensi tersebut menjadi faktor perubahan terhadap kelakuan-kelakuan komunikasi sosial sama ada verbal atau non-verbal dalam konteks komunikasi silang budaya yang berlaku terhadap masyarakat Dusun dan akhirnya menyenarai antara perubahan-perubahan yang berlaku atau sebaliknya dalam kehidupan mereka hari ini.

1.4 Kepentingan Kajian

Dalam era globalisasi yang bercirikan wilayah tanpa sempadan, memungkinkan manusia terdedah dengan kepelbagaian tamadun yang berpotensi menjadi faktor dan angkubah kepada berlakunya perubahan asas-asas dalam sesuatu sistem sosial seperti kebudayaan, komunikasi atau kepercayaan sesebuah masyarakat di sesuatu kawasan dan wilayah. Perubahan- perubahan ini merupakan natijah, akibat proses dan keanjalan adaptasi mudah masyarakat tentang suatu budaya lain walaupun jelas terdapat kecenderungan dan percanggahan dengan nilai budaya dan adat resam sendiri yang diwarisi. Pengkaji menganggap modifikasi-modifikasi ini merupakan elemen, cabaran dan pendorong utama pengkaji memokuskan kajian terarah kepada pengaruh dan implikasi dimensi bahasa dan agama sebagai antara persepktif perubahan identiti dan budaya masyarakat Dusun di Sabah. Pengkaji akan cuba mendokumentasikan sesuatu nilai yang objektif masyarakat Dusun melalui persejarahan sebagai warisan generasi hadapan. Tanpa pendokumentasian, sudah pasti nilai jati budaya sesebuah masyarakat itu akan tidak lagi diketahui dan hilang akibat proses evolusi warisan. Akhirnya, sesebuah masyarakat itu hanya beridentitikan nama sahaja tetapi rohnya dicorakkan oleh perubahan zaman dan asimilasasi. Profesor Mohamed Ghouse Nasuruddin, pernah berkata " kita perlu sedar bahawa warisan sering berubah dibentuk zaman, sesuai dengan proses menyesuaikan warisan kehendak zaman. "

1.5 Limitasi Kajian

Bahasa dan agama adalah fokus kajian. Pada hemat pengkaji, dimensi-dimensi ini amat signifikan dan mempunyai pengaruh mendalam dalam konteks budaya khususnya sistem komunikasi sosial masyarakat Dusun seperti penggunaan bahasa, kepercayaan agama dan adat resam yang boleh mempengaruhi sesuatu interaksi dalam sistem sosialnya. Misalnya seorang Islam disunatkan memberi salam kepada saudaranya sebagai memulakan bicara tetapi orang bukan Islam sudah tentu berbeza keadaannya. Begitu juga dengan bahasa atau penampilan fizikal seperti berbahasa ibunda dan memakai kopiah atau topi koboi sudah cukup akan memberi persepsi orang lain tentang jenis kaum atau bangsa seseorang itu. Ini menggambarkan bahawa walau apa pun situasi yang ditampilkan proses komunikasi telah berlaku.

SOROTAN LITERATUR

1.1 Adat Resam dan Tradisi:

Kaum Dusun di Sabah mempunyai banyak amalan adat resam dan tradisi yang diwarisi berasaskan fahaman dan agama adat "Pagan" kaum Dusun. Prof. Madya Abu Hassan Sham (1987) melaporkan Prof. Dr. Mohd. Taib Osman menyatakan tradisi ialah suatu yang diwarisi daripada nenek moyang. Antara ciri-ciri fahaman tradisi masyarakat Dusun yang dianggap baik ialah kaum ini mempercayai adanya alam ghaib seperti Tuhan dan setiap perbuatan mempunyai balasan baik buruknya. Bagi masyarakat Dusun, Tuhan ialah "Kinorohingan" dan mempunyai kuasa tertinggi dari segala sesuatu. Tuhan tempat mereka mengkomunikasi atau meminta sesuatu khususnya kesihatan, keselamatan dan meminta perlindungan daripada sebarang penyakit serta kinorohingan dapat menghalang pengaruh kuasa ghaib seperti syaitan atau "Roogon" dalam bahasa Dusun. Ini jelas terbukti dalam upacara-upacara masyarakat Dusun, contohnya apabila membuka tanah baru untuk pertanian, membina rumah dan masuk rumah baru, mengubati orang sakit, upacara memulakan menuai padi dan sebagainya, semuanya dimulai dengan mentera dan pemujaan kepada Kinorohingan. Menurut Ismaily Bungsu(1988) kepercayaan kaum Dusun atau Kadazan tentang kinorohingan ialah kinorohingan bersemayam di luar sebagai Tuhan dan dikaitkan dengan beberapa lagenda khususnya hal-hal berkaitan dengan mentera pemujaan.

1.2 Istilah Dusun:

Menurut Dr. Jacqueline (dipetik Prof. Mohd. Taib Osman, 1987) Alliston melaporkan mubaligh-mubaligh Roman Katholik mula-mula sekali mendapati nama kadazan digunakan di kalangan Dusun Laut. Istilah ini dikatakan berasal daripada perkataan "kakadazan" atau " kakadayan" yang bererti bandar atau penduduk bandar dan perkataan ini luas digunakan apabila timbulnya parti-parti politik tempatan pada tahun 1960an manakala Melayu Brunei dan Bajau menggunakan istilah Dusun untuk penduduk bumiputera yang mengamalkan penanaman padi secara besar-besaran daripada memburu dan berhimpun menurut Dr. Jacqueline (dipetik Prof. Mohd. Taib Osman, 1987).

1.3 Sistem Sosial:

Masyarakat Dusun mempunyai asas kesamaan sistem sosial (Dr. Jacqueline Pugh-Kitingan, 1987). Antaranya, sistem dari aspek budaya objektif dan budaya subjektif . Budaya objektif terdiri daripada bahasa, pakaian, pekerjaan malah dalam bidang budaya pemuzikan seperti tarian sumazau dan alat -alat muzik Sompoton, Turali, Tongkungon, Tagunggak, Bakokong, Kulintangan Tring, Bungkau dan Gong (Ismaily Bungsu, 1988) manakala budaya subjektif ialah upacara pemujaan seperti pembacaan doa atau "megendi" dengan menggunakan "komborongoh" adalah satu kemestian dalam masyarakat Dusun ketika memulakan sesuatu perkara seperti masuk rumah baru "Rumesod", mengubati pesakit, menghindari gangguan syaritan, hari keluarga "meginakan" dan sebagainya.

1.4 Bahasa:

Bahasa ialah satu wahana perhubungan dan komunikasi antara manusia. Sebagai keperluan sosial, bahasa adalah alat penting untuk menyampai maksud, ia juga sistem lambang pertuturan yang arbitrari yang digunakan manusia sebagai alat untuk berhubung manakala dialek ialah satu variasi bahasa yang ditentukan mengikut wilayah dan ditutur bergantung kepada tempat seseorang itu dilahirkan (S.Nathesan, 1995). Menurut Dr. Jacqueline Pugh-Kitingan (1987) keluarga Dusun menggunakan empat belas bahasa pertuturan. Antara bahasa Dusun ialah Liwan, Tagas, Dusun Tambunan, Tuhauwon dan Kuruyou. Bahasa Dusun Liwan tertumpu di daerah Ranau.

1.5 Agama:

Menurut M.Abdul Muieb, Mabruri Tolhah & Syaf’ah Am (1997: 5), agama ialah ajaran atau kepercayaan. Mempercayai satu atau beberapa kekuatan ghaib yang mengatur dan menguasai alam, manusia dan jalan hidupnya. Baik kehidupan di dunia mahupun di akhirat. Menurut istilah fiqh, agama terdiri daripada agama Samawi yang bersumberkan wahyu dan agama Ardli bersumberkan hasil pemikiran dan ciptaan manusia serta kebudayaan (M.Abdul Mujieb, Marburi Tholhah & Syafi’ah Am, 1997:4). Sejarah melaporkan sebelum tamadun Islam mula berpusat di Pasai pada 1250 - 1524 M dan Islam di Melaka pada 1400-1511M, tamadun Sriwijaya muncul lebih awal iaitu pada 650-1200M. Islam dipercayai sampai di Sabah menjelang akhir abad ke-5 dan ke-16 melalui pedagang Arab, India dan hasil pengembangan kerajaan Kesultanan Melayu Brunei.

1.6 Sistem Etika dan Peraturan:

Menurut hasil temuramah dengan Tuan Haji Maslin Abdul Fatah pada 23 Disember 2001, masyarakat Dusun mempunyai norma kehidupan yang melibatkan sistem etika dan peraturan yang perlu dipatuhi. Sistem norma ini tidaklah seperti undang-undang bertulis tetapi sistem ini lebih merupakan kontrak sosial. Sistem ini merupakan nilai, panduan dan kawalan dalam kehidupan bermasyarakat. Sesiapa juga yang didapati melanggar norma-norma ini akan dihukum menurut adat masyarakat Dusun yang berupa fizikal dan deraan emosi. Bentuk hukuman fizikal ialah pesalah dikehendaki membayar dengan ayam, babi, lembu atau kerbau manakala deraan emosi pula ialah menjadi celaan dan cemuhan masyarakat sekeliling atau sinonim dengan buah mulut.

METODOLOGI KAJIAN

1.1. Pengukuran Pembolehubah

Pembolehubah atau angkubah dalam kajian ini merupakan konsep yang mempunyai nilai-nilai statistik bervariasi yang ingin diketahui dan digunakan untuk menjawab fenomena kajian. Pemilihannya tertakluk kepada kebolehannya untuk menjawab dan relevan kepada persoalaan kajian. Pembolehubah telibat dalam kajian ini ialah pembolehubah-pembolehubah bebas, pembolehubah bersandar dan pembolehubah perantara. Selaras dengan objektif umum dan objektif khusus kajian, format persoalan meliputi maklumat demografi responden, antaranya ialah umur, pendidikan, agama, bahasa, status perkahwinan dan jumlah ahli keluarga. Didefinisikan jumlah ahli keluarga dijangka akan memberi implikasi, yang mana semakin ramai bilangan ahli keluarga maka semakin ramai bilangan dan semakin tinggi menggunakan bahasa dan menganut sesuatu agama. Soalan-soalan umum juga dikemukakan seperti kemahiran bahasa, kekerapan penggunaan bahasa, ruang lingkup, faktor dan sumber pengaruh, agama, adat resam dan sebagainya.

1.2. Kaedah Pengumpulan Data

Selaras dengan objektif kajian ini, pengkaji telah mengaplikasikan pendekatan budaya dan pendekatan perbandingan budaya melalui kaedah tinjauan. Seperti yang disarankan oleh Syed Arabi Idid (1998) tentang kaedah tinjauan dalam membuat penyelidikan dan mengumpul data maka pengkaji menggunakan teknik temubual bersemuka dan temubual tidak bersemuka demi untuk memelihara kesahan dan kebolehpercayaan data empirik dan maklumat yang diperolehi. Menerusi teknik bersemuka, pengkaji telah menggunakan borang soal selidik yang dipantau sendiri. Soalan-soalan borang soal selidik di muka surat 22-24 telah digunakan sepenuhnya sebagai soalan ketika temubual dijalankan. Sementara itu, pengkaji juga bertindak mengisi sendiri borang soal selidik berdasarkan hasil jawapan yang diterima daripada responden. Khidmat penemubual atau "enumerator" tidak digunakan. Teknik temubual tidak bersemuka melalui telefon digunakan terhadap responden-responden tertentu.

1.3. Persampelan:

Menurut Buku Perangkaan Sabah 1998 yang dilaporkan oleh internet, daerah Ranau mempunyai 49,359 penduduk. 39,643 daripada jumlah tersebut terdiri daripada kaum Dusun. Kepadatan penduduknya bagi 1 kilometer persegi pada 1991 ialah 17 orang berbanding 9 orang pada 1980 dengan taburan peratus penduduk 2.9% pada tahun 1991 berbanding 3.0% pada 1980. Menurut ketua kampung Lingkodau, Ranau Encik Gani Gantuong (temuramah 4 Ogos, 2000), Kampung Lingkodau dalam Rajah 1.1 mempunyai lebih kurang 800 penduduk iaitu 150 ketua keluarga. Sebagai memenuhi objektif kajian, persampelan kebarangkalian berstrata dijalankan, di mana responden telah diambil untuk mengetahui ciri-ciri atau statistik daripada seramai 84 orang responden yang dianggap dapat mewakili parameter populasi. Sampel terdiri daripada 2 orang responden dipilih dari setiap keluarga yang mewakili golongan tua dan golongan muda. Ini bermakna responden golongan tua ialah seramai 42 orang sementara responden golongan muda juga seramai 42 orang.

1.4. Kaedah Analisis Data:

Data-data dan maklumat-maklumat statistik responden yang telah diperolehi melalui borang soal selidik akan dianalisis dengan menggunakan data analisis Statistical Package for Social Science atau SPSS ver. 9.0 for windows. Analisis statistik yang telah digunakan hanyalah melibatkan analisis perbandingan untuk mengetahui kadar frekuensi di antara pembolehubah yang dikaji dan analisis hubungan atau perkaitan dengan fenomena tetapi ujian korelasi untuk mengetahui nilai indeks yang mengukur kewujudan dan kekuatan perkaitan antara pemboleh ubah serta untuk mengetahui tahap perkaitan itu kuat atau lemah berdasarkan rujukan asal pengkaji Jadual Guilford’s rule of thumb tidak dilaksanakan kerana pengkaji tidak mencari hipotesis kajian. Analisis statistik ini sengaja diperkecilkan oleh pengkaji kerana kertas kerja ini merupakan kerja kursus yang ringkas dan buka kerja projek yang memelukan rumusan yang terperinci, tambahan pula peruntukkan masa terhad.

1.5. Pra Uji:

Kebolehpercayaan (ketekalan) dan pengesahan terhadap kesesuaian soalan-soalan soal selidik yang dibuat akan dilakukan melalui para uji di kalangan 10% daripada jumlah responden. Pengubahsuaian terhadap soalan akan dibuat sekiranya terdapat hasil maklum balas yang tidak seimbang di kalangan 10% responden yang dilibatkan dalam para uji berkenaan. Tujuan para uji ialah memastikan soalan difahami dan dapat dijawab oleh responden. Melalui pra uji ini akan dapat suatu ketekalan sesuatu alat pengukuran yang dikenali sebagai kepercayaan sementara kesahan ialah sejauh mana ujian tersebut dapat mengukur apa yang sepatutnya hendak diukur (Siti Hawa Munji & Ma’rof Redzuan, 1990).

HASIL KAJIAN DAN PERBINCANGAN

Kampung Lingkudau terletak kira-kira 1 kilometer dari Pekan Ranau, Sabah. Kampung ini terbahagi dua iaitu Kampung Lingkudau Lama dan Kampung Lingkudau Baru (Kibarambang) tetapi biasanya di panggil Kampung Lingkudau sahaja. Mejoriti penduduknya terdiri daripada kaum Dusun berasal dari Bundu Tuhan Ranau. Bahasa ibunda mereka ialah bahasa Dusun Liwan dan tidak mempunyai agama (Pagan). Ahli keluarga pertama yang mendirikan rumah penempatan di kampung ini ialah keluarga Rantau Kondongoi , sila lihat struktur keluarga ini dalam Lampiran 1.1. Manakala orang pertama yang memeluk agama Islam di kampung ini ialah Haji Aman bin Rantau ( Daranson bin Rantau nama sebelum Islam), Amir bin Jahali (Sanan bin Tanur nama sebelum Islam) dan Sekium binti Omar ( Tialam binti Moyung nama sebelum Islam). Orang yang bertanggungjawab mengislamkan mereka ialah Muhammad Sharif Radin Jaya Winata atau Muhammad Sharif seorang pendakwah agama Islam dari Indonesia. Seorang lagi yang diislamkan oleh pendakwa berkenaan ialah Haji Abdul Hamid Kinsiron, 75 tahun pada 5 Julai 1947 sementara Rashman Gitas, 85 tahun diIslamkan oleh Haji Aman Rantau ketika beliau berumur 19 tahun tetapi mereka hanya terkemudian mendiri penempatan di Kampung Lingkudau. Sehingga kini, penduduk kampung ini telah melebihi 800 jumlah ahli keluarga dengan lebih 150 ketua keluarga. Pekerjaan utama mereka ialah petani. Sebelum Islam, masyarakat ini memang kaya dengan warisan budayanya sama ada bersifat implisit dan eksplisit yang wujud dalam konteks komunikasi tetapi setelah memeluk agama Islam, kebanyakan budayanya tidak lagi relevan, antaranya ialah:

Budaya Tradisi

1.1 Perkahwinan

Dalam konteksi komunikasi, ibu bapa bertanggungjawab memilih bakal isteri anak lelakinya. Setelah peminangan diterima oleh pihak keluarga perempuan, majlis perkahwinan akan dilakukan pada masa yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan lazimnya dilakukan pada waktu malam di rumah pengantin perempuan. Pada malam pertama si suami harus bermalam di rumah keluarga isterinya dan kemudiannya pasangan pengentin ini akan diarak ke rumah keluarga lelaki dan perempuan selama tiga kali berturut-turut. Sebelum pengantin dibenarkan masuk ke dalam rumah, pihak tuan rumah keluarga lelaki/perempuan menyanyi atau "Selakohan Sinding" dan dibalas oleh rombongan. Selakohan sinding ini bertujuan menyambut kedatangan rombongan pengantin baru tetapi diluahkan dalam bentuk nyanyian.

1.2 Mendiri dan Masuk Rumah Baru:

Mendirikan dan masuk rumah baru hendaklah dimulai dengan upacara "Tumedek" atau menanda. Upacara ini hendaklah dilakukan pada hari-hari penting bagi masyarakat Dusun yang dipanggil "Tadau Rampagas, Tanob, Selimpunan do kesilau, Selimpunaan Tadau Daat, Selimpunaan Tulan Daat, Kepuposan Tulan Daat dan Selimpunan Tulan Kelimo". Begitu juga dengan masuk rumah baru harus pada hari-hari yang terpilih dan diiringi dengan upacara sembahyang doa atau Megembawon / Mengendi. Upacara ini dilakukan oleh golongan tua yang mahir untuk mengendi. Lazimnya golongan perempuan yang melakukan upacara megendi dan bukan daripada golongan leleki.

1.3 Hari Keluarga atau "Meginakan"

Masyarakat Dusun mempunyai upacara perpaduan keluarga yang dipanggil meginakan. Semua ahli kelurga dijemput dan satu upacara menyembahyangkan arak Gampian Kinomol yang diketuai oleh mereka yang mahir megendi serta dijalankan pada waktu malam. Setelah selesai upacara tersebut, mereka mengambil bambu atau "Telutuk" untuk dipukul "Tontongon" bagi mengeluarkan bunyi. Menurut kepercayaan mereka memukul bambu bertujuan memperbaiki dunia. Hari keluarga ini dihadiri semua ahli keluarga dan masyarakat kampung selama 7 hari berturut-turut.

1.4 Ketian

Ketian ialah seorang lelaki yang menyebabkan seorang perempuan mengandung tanpa sebab perkahwinan yang sah. Natijahnya lelaki dicaci dan dikehendaki membayar denda atau sogit berupa babi atau kerbau. Tujuannya menyejukkan panas dalam ahli keluarga dan masyarakat kampung serta memberitahu masyarakat kampung bahawa pesalah telah dihukum setimpal dengan kesalahannya.

1.5 Mencuri atau "Manakau"

Pencuri dapat dikenal pasti dengan bantuan bomoh yang mahir melalui upacara "mengintutun". Alat-alat yang digunakan semasa mengintutun ialah telur ayam atau cermin. Semasa mengintutun, beberapa ahli keluarga dan masyarakat kampung datang sama-sama menyaksikan upacara mengintutun. Biasanya, bomoh akan memberitahu siapa yang mencuri dan biasanya tuduhan bomoh dipercayai oleh ahli keluarga dan majoriti masyarakat. Implikasinya, orang yang kena tuduh akan mendapat cacian dan celaan masyarakat kampung untuk beberapa waktu. Sebaliknya, pesalah yang melakukan kesalahan besar seperti mencuri kerbau boleh dihalau keluar "elohon" dari kampungnya.

1.6 Kahwin Bersaudara atau "Kepingaian Miadpinai"

Adalah menjadi kesalahan besar bagi masyarakat Dusun, jika seseorang lelaki atau perempuan berkahwin dengan seseorang yang dipercayai masih ada talian persaudaraan. Jika perkahwinan dilangsungkan juga, si lelaki dan perempuan akan dikenakan hukuman denda iaitu "Pitas" yang terdiri daripada 7 kerbau, 7 ayam, 7 perang, 7 tajau dan 7 mangkuk. Tujuannya ialah memutuskan tali persaudaraan untuk membolehkan mereka berkahwin. Pitas bagi lelaki hendaklah diberi kepada pihak keluarga perempuan dan pitas perempuan pula diberikan kepada keluarga lelaki. Pembayaran pitas ini dipanggil "Mesulak" atau sama-sama membayar denda (bertukar-tukar barang denda).

1.7 Curang atau "Melapau"

Seseorang lelaki atau perempuan yang telah berkahwin tidak boleh berlaku curang terhadap si suami atau si isteri . Jika berlaku kecurangan hendaklah dikenakan denda berupa kerbau atau babi. Tujuannya adalah dimakan bersama ahli keluarga yang dicuranginya iaitu isteri atau suami dan anak-anak.

1.8 Kematian atau "Kepataiyen"

Bila kematian berlaku dalam masyarakat Dusun tradisi, ahli keluarga si mati akan memukul gong "Tontong sanang"yang bertujuan memberitahu ada kematian dalam ahli keluarga dan disertai turun dari rumah atau "menuhon" bertujuan cuba menahan roh simati atau kedwo-dwo melalui benda-benda yang diambil dipersekitaran halaman rumah si mati untuk disapukan di ubun-ubun kepala si mati dengan harapan si mati hidup semula. Selain itu, satu lagi alat komunikasi digunakan untuk memberitahu masyarakat kampung bahawa adanya kematian dalam sesebuah keluarga iaitu menggunakan buluh untuk dibunyikan atau "Mengarasapong". Semasa si mati dibawa ke kubur, ahli-ahli keluarga akan meraung-raung dan memukul bekas letak si mati. Pada malam pada hari perkuburan, ahli keluarga akan mengadakan upacara memisah dengan menutup semua lampu dalam rumah. Tujuannya ialah agar roh si mati akan balik ke rumah untuk "megoit-megoit" atau membawa dan mengambil barang-barang milik si mati. Pada hari ketiga (3) pula, ahli keluarga simati mengadakan upacara pembahagian atau "Ikidan / angkiban" . Benda yang boleh dijadikan angkiban ialah ternakan dan tanaman. Tujuannya ialah mengadakan pembahagian harta untuk simati. Contoh narrator ialah " Anu bin Dia, ini saja bahagian mu. Jangan lagi ganggu kami". Pembahagian ini dilakukan dengan tangan kiri dan membelakang. Pada hari kelima atau ketujuh pula, upacara keselamatan yang dipanggil "Memagompi" melalui upacara mengendi dilakukan dengan bantuan sesorang yang mahir megendi.

Dimensi Agama.

Menurut Steven A.Beebe, Susan J.Beebe & Mark V.Redmond (Second Edition 1999) non-verbal adalah kaedah utama untuk mengkomunikasi perasaan dan sikap kepada orang lain dan mesejnya lebih dipercayai daripada mesej verbal. Ini bermakna beragama juga mempunyai nilai komunikasi. Melalui analisis data responden yang diperolehi, pengkaji mendapati responden melalui dua proses perubahan dalam agama, di mana mereka mempunyai agama asal dan agama baru seperti dinyatakan dalam Jadual 1.1 .

Jadual menunjukkan responden ketua keluarga 33.3% Islam, 23.8% Kristian dan 42.9% tidak beragama (Pagan) sementara responden golongan anak sebanyak 78.6% Islam, 14.3% Kristian dan 7.1% Pagan. Setelah menganut agama baru, angka peratusan menunjukkan golongan ketua keluarga ialah 83.3% Islam, 14.3% Kristian dan 2.4% Pagan sementara golongan muda (anak) pula menunjukkan 88.1% Islam, 9.5% Kristian dan 2.4% Pagan. Ini menunjukkan ramai saudara baru yang menganut agama Islam kerana ramai penganut agama Ardli (Pagan) dan agama Kristian yang menganut agama Islam. Apa yang ketara ialah tidak ada pertambahan penganut kepada agama Ardli dan Kristian. Ini memberi mesej bahawa semakin ramai meninggalkan agama lama maka semakin ramailah meninggalkan cara hidup lama yang tidak relevan dengan syariat agama baru mereka.

1.1 Pertanggungjawaban Kepada Penganutan Agama:

Jadual 1.2 menunjukkan 54.8% ketua keluarga yang menganut agama adalah mengikut kehendak ibu bapa mereka sementara dan 45.2% yang menganut agama adalah melalui orang perseorangan atau pendakwa. Manakala golongan muda yang menganut agama adalah 90.5% faktor keluarga dan hanya 9.5% adalah faktor pendakwa. Ini menggambarkan pendakwah telah memainkan peranan yang sederhana dan membawa golongan tua untuk menganut agama baru tetapi tidak begitu penting kepada golongan muda, sebaliknya ibubapalah yang berperanan penting membawa anak-anak kepada agama baru sesuai dengan tanggungjawab sebagai orang tua. Setelah diteliti Jadual 1.3 menunjukkan tempoh

seseorang ketua keluarga dan anak menganut sesuatu agama menurut kepercayaan mereka. Sebanyak 50% golongan tua dan 90.5% golongan muda menganut agama sejak lahir lagi sementara 40.5% golongan tua menganut agama kerana kehendak atau mengikuti ahli keluarga yang beragama Islam, 7.2% anak menganut atas kesedaran sendiri atau mengikuti ahli keluarga serta 2.4% menganut agama kerana faktor perkahwinan. Ini mengambarkan golongan tua lebih banyak menganut agama baru akibat pengaruh pendakwa agama berbanding golongan muda yang hanya mengikut agama ibubapa atau keluarganya.

1.2 Faktor Kepada Penganutan Agama:

Jadual 1.4, menunjukkan dua faktor utama kenapa menganut sesuatu agama iaitu faktor kesedaran dan faktor agama asal. Peratusan menunjukkan sebanyak 50% golongan tua memberi atas faktor kesedaran sementara golongan muda hanya memberi 4.8%

berbanding faktor agama setelah di "cumulativ e percent" iaitu golongan tua sebanyak 47.5% dan golongan muda sebanyak 85.7%. Ini mengambarkan golongan tua penentu agama bagi golongan muda dan bukan atas pengaruh persekitaran atau pengaruh pendakwah.

Dimensi Bahasa

Bahasa bukan saja berfungsi sebagai alat pengantar malah menjadi identiti sesuatu bangsa. Misalnya kaum Melayu dengan bahasa Melayunya, kaum India dengan bahasa Tamilnya, kaum Cina dengan bahasa Mandarinnya, kaum Dusun dengan bahasa Dusunnya dan sebagainya. Justeru itu, tercetuslah ungkap seperti "Bahasa Jiwa Bangsa" dan sebagainya.

1.1. Bahasa Pertuturan

Jadual 1.5 menunjukkan bahasa Melayu telah mendominasi bahasa pertuturan iaitu 80.95% golongan muda dan 28.57% golongan tua berbanding hanya 26.19% golongan tua dan 4.76% golongan muda yang menggunakan bahasa ibunda atau Dusun. Walau bagaimanapun golongan tua masih dapat mengekalkan penggunaan dwi bahasa Dusun dan Bahasa Melayu atas faktor-faktor tertentu seperti penyesuaian situasi, komunikasi antara suami dan isteri serta rakan sebaya iaitu mewakili 45.24%. Ini menggambarkan hanya golongan tua sahaja yang kerap menggunakan bahasa ibunda sementara golongan muda lebih kerap menggunakan bahasa Melayu.

1.2 Tahap Kemahiran Bahasa Ibunda (Dusun)

Jadual 1.6 menunjukkan sebanyak 95.24% ketua keluarga dan hanya 30.95% golongan anak yang mahir bahasa ibunda sementara 35.71% terdiri golongan muda yang tidak tahu bercakap Dusun serta melibatkan 28.57% golongan muda kurang fasih tetapi memahaminya sahaja.Angka peratusan ini menggambarkan hanya golongan tua sahaja yang masih dapat mengekalkan bahasa ibunda sebagai alat komunikasi sosial dan identiti bangsa di kalangan masyarakat Dusun manakala di tahap golongan muda bahasa ibunda tidak lagi dapat mengekalkannya sebagai alat komunikasi sosial dan identiti masyarakat Dusun.

1.3 Faktor Penggunaan Bahasa:

Secara umumnya Jadual 1.7 menunjukkan faktor-faktor yang mendorong ke arah pemilihan dan penggunaan bahasa pertuturan seharian di kalangan masyarakat Dusun dalam kajian, antara alasan yang diberi oleh golongan tua atau ketua keluarga ialah penyesuaian situasi dan bahasa sendiri yang melibatkan angka peratusan 50% penyesuaian dan 28.57% bahasa sendiri manakala golongan memberi alasan sebagai 19.05% penyesuaian, 21.43% mudah dituturkan dan sebanyak 42.86% disebabkan pendedahan oleh ibubapa. Ini menggambarkan persekitaran atau penyesuaian dan ibubapa berperanan penting dalam menentukan bahasa yang dituturkan oleh golongan tua dan golongan muda atau anak.

1.4 Faktor Penggunaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertuturan:

faktor utama mereka menggunakan bahasa Melayu adalah faktor pertuturan harian (situasi) semantara 54.76% daripada kalangan golongan muda menyatakan pendirian yang sama. Sementara faktor lain ialah 11.90% golongan tua dan 19.05% golongan muda menyatakan kesukaran memahami bahasa ibunda dan 19.05% golongan muda menyatakan bahasa Melayu sebagai bahasa yang muda. Ini menggambarkan bahasa Melayu telah menjadi pertuturan harian masyarakat Dusun dan bukan lagi bahasa Dusun iaitu bahasa sendiri.

1.5 Kemahiran Bercakap Bahasa Ibunda Mengikut Umur:

Jadual 1.9 menunjukan kemahiran bercakap Dusun mengikut umur di kalangan golongan muda dan golongan tua. Daripada 82 orang responden yang dikaji didapati 14 orang responden daripada kalangan golongan muda tidak tahu bercakap Dusun berbanding seorang sahaja daripada golongan tua yang tidak tahu bercakap Dusun. Sementara golongan muda yang kurang fasih dan berada tahap sedarhana pula ialah 13 orang responden berbanding seorang daripada golongan tua. Golongan yang paling ramai tidak tahu bercakap Dusun ialah mereka yang berada di bawah umur 20 tahun ke bawah iaitu melibatkan bilangan responden 9 orang sementara golongan tua melibatkan seorang sahaja pada tahap umur antara 51 hingga 60 tahun. Ini menggambarkan bahasa Dusun tidak lagi relevan bagi golongan muda dan akhirnya bahasa pertuturan golongan ini tidak lagi menggambarkan bangsa atau kaumnya sendiri.

1.6 Bahasa Pertuturan Pilihan Golongan Muda:

Berdasarkan Jadual 1.10 di atas, anak lebih selesa dan kerap menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa medium berbanding bahasa ibunda. Dari segi peratusan kebanyakan anak-anak iaitu sebanyak 73.81% menggunakan bahasa Melayu bila bercakap dengan ayah, 76.19% terhadap ibu, 83.33% dengan ahli keluarga dan 71.43% antara rakan sebaya berbanding terdapat anak-anak yang menggunakan bahasa ibunda di antara 11.90% hingga 14.29% sehaja. Situasi ini menggambarkan, golongan muda atau anak-anak tidak berusaha untuk menunjukkan jeti diri atau identiti budaya sendiri malah mereka meminggirkan nilai budaya sendiri iaitu bahasa ibunda.

1.7 Bahasa Pertuturan Pilihan Golongan Tua:

Jadual1.11 menunjukkan ketua keluarga (ibubapa) kerap menggunakan bahasa Melayu dan dwi bahasa apabila berkomunikasi dengan anak dan ahli keluarga. Himpunan purata "cumulative percent" menunjukkan ialah antara 76.17% dan 73.81% berbanding himpunan peratusan penggunaan bahasa ibunda hanya melibatkan 21.43% dan 26.19%. Walau bagaimanapun, lebih ramai ketua keluarga masih mengekalkan untuk mengguna bahasa ibunda apabila bercakap dengan pasangan iaitu pada tahap 71.43% sementara 45.24% ketua keluarga menggunakan dwi bahasa apabila berinterakasi dengan rakan sebaya. Situasi ini menggambarkan ketua keluarga lebih selesa menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan dalam situasi keluarga berbanding dengan bahasa ibunda, dan natijahnya akan meminggirkan nilai-nilai budaya sendiri khususnya bahasa yang dianggap sebagai bahasa menunjukkan bangsa.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan , apabila kita memperkatakan sesuatu bangsa agak ramai yang agak fanatik tentang perkara itu. Hal ini amat jelas menerusi pelbagai nada ungkapan seperti "Bahasa Jiwa Bangsa, Bahasa Jeti Diri, Bahasa Citra Bangsa, Bahasa Identiti Bangsa, Islam Melayu, Kaum/etnik Cina, India, Bajau, kaum Dusun dan sebagainya. Jika ditanya suatu ahli masyarakat mengenai kaum dan agama sudah tentu mereka mengatakan "inilah bangsa ku atau inilah agama ku". Nada-nada mereka menunjukkan satu kebanggaan malah bagi mereka yang fanatik kadangkala kaum lain dianggap rendah berbanding dengannya serta agak sukar menerima kaum lain dalam lingkungan masyarakat mereka dan akhirnya konflik berlaku seperti pertikaian. Sejarah dunia telah menunjukan kebenaran ini. Contoh konflik kaum peristiwa 13 Mei 1969 dan konflik agama BOSNIA dan sebagainya.

Namun situasi ini tidak menggambarkan di tempat kajian, jika kaum Cina fanatik tentang bahasanya tetapi kaum Dusun berada di sebaliknya. Hal ini dapat digambarkan melalui ungkapan bahasa dan cara hidup harian mereka yang kini hampir tidak lagi menggambarkan identiti kaum itu sendiri. Masyarakat ini telah banyak mengadaptasi dan melakukan modifikasi cara dan gaya kehidupan mereka. Contohnya bahasa pertuturan harian dalam ahli keluarga sebagai sistem komunikasi sosial mereka, lebih banyak berbahasa Melayu berbanding dengan bahasa ibunda atau bahasa sendiri. Situasi yang mengejutkan lagi apabila lebih ramai golongan muda meraka yang tidak tahu berbahasa ibunda manakala agama Islam yang mereka anuti telah merubah budaya warisan daripada datuk moyang mereka sama ada dari segi aspek upacara dan penampilan.

Antara faktor-faktor perubahan ini, kebanyakan golongan tua adalah dipengaruhi (penyesuaian) persekitaran dan pendakwa agama yang sudah tentu mempunyai pelbagai latarbelakang budaya khususnya aspek bahasa dan agama serta menjadi antara angkubah yang bertanggungjawab terhadap perubahan ini, sementara golongan muda pula adalah berada dalam situasi pengaruh golongan tua . Tambahan pula, golongan tua sejak awal-awal lagi boleh disifatkan kurang prihatin tentang budaya sendiri tetapi lebih senang dengan budaya luar seperti pengucapan bahasa. Situasi ini ditujukkan oleh ketua keluarga yang banyak menggunakan bahasa Melayu bila berinteraksi dengan anak berbanding dengan bahasa ibunda. Sesungguhnya pengadaptasian bahasa lain dengan meminggirkan bahasa ibunda menjadi suatu kerugian yang besar tetapi perubahan agama ardli kepada agama samawi Islam adalah suatu kesadaran yang tinggi bahawa hanya Allah sahaja yang patut disembah dan bukan lainnya dan akhirnya menjalani suatu kehidupan menurut syara’ yang diredai oleh Allah.

 BIBLIOGRAFI

Dr. Jacqueline Pugh-Kitingan (1987). Muzik Instrumental Dan Alat-alat Muzik Dusun Tambunan. (Prof. Dr. Mohd. Taib Osman, Editor 1987). Muzik dan Puisi Rakyat Malaysia Kumpulan Kertas-Kerja Seminar. Kota Kinabalu: Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah.

Kitingan, Joseph Pairin (1982) General Introduction to the Culture anda Custom of the Natives of Sabah – the Kadazan (Dusun)". Our Cultural Heritage. Kota Kinabalu: Sabah Kadazan Cultural Association.

Ismaily Bungsu (1988), Beberapa Muzik Sabah. Kota Kinabalu:Jabatan Cetak Kerajaan Datuk Liew Sak Siong, Pencetak Kerajaan Negeri Sabah.

Profesor Mohamed Ghouse Nasuruddin (September 24, 1994). Siri Syarahan Pelantikan Profesor 1994/Bil. 6, Seni Persembahan Tradisi Menjelang Awal Abad ke-21. Pulau Pinang, di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia http://www.lib.usm.my/press/SSU/ghouse.html.

Prof.Madya Abu Hassan Sham (1987). Definisi, Bentuk Dan Fungsi Puisi Rakyat Melayu. (Prof. Dr. Mohd. Taib Osman, Editor 1987). Muzik dan Puisi Rakyat Malaysia Kumpulan Kertas-Kerja Seminar. Kota Kinabalu: Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah.

S.Nathesan (1995) Laras Bahasa. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka & Kementerian Pendidikan Malaysia.

M.Abdul Mujieb, Mabruri Tholhah & Syafi’ah Am(1997). Kamus Istilah Fiqh.Selangor Darul Ehsan:Penerbit PT Pustaka Firdaus.

Sejarah Moden Sabah

http://www.sbh.lib.edu.my/clh/sejarah/kenali_sejarah.htm.

Syed Arabi Idid (1998). Kaedah Penyelidikan Komunikasi dan Sains Sosial. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Penduduk (Termasuk Penduduk Penghitungan Sendiri) mengikut daerah pentadbiran, Kumpulan Etnik Dan Jantina, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, 1991. http://www.sabah.org.my/kenal_sabah/penduduk_1.htm.

Penduduk (Termasuk Penduduk Penghitungan Sendiri) mengikut daerah pentadbiran, Kumpulan Etnik Dan Jantina, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, 1991. http://www.sabah.org.my/kenal_sabah/penduduk_2.htm.

Taburan Peratus penduduk dan Kepadatan Mengikut Daerah Pentadbiran, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. http://www.sabah.org.my/kenali sabah/padat.htm.

Penduduk Sabah

http://www.sabah.org.my/kenal_sabah/penduduk.htm.

Siti Hawa Munji & Ma’rof Redzuan (1990). Pengantar Psikologi. Selangor Darul Ehsan: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Steven A.Beebe, Susan J.Beebe & Mark V.Redmond (Second Edition 1999).Interpersonal Communication. Needham Heights, MA 02494: Allyn & Bacon.

L.E.Sarbaugh (1995). Komunikasi Antara Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Mohd.Taib Osman dan Wan Kadir Yusof (1986). Kajian Budaya dan Masyarakat Di Malysia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Kementerian pelajaran Malaysia.

Werner J.Severin & James W.Tankard JR (1988). Teori Komunikasi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Noran Fauziah Yaakub (1987). Pengantar Sosiologi.

Petaling jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Nunuk Ragang

http://www.sabah.org.my/kenali_sabah/lagenda_stories/lagenda_nunuk.htm.

Mustafah Hj.Daud (1993). Perkahwinan Menurut Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Kenneth D. Bailey (1984). Kaedah Penyelidikan Sosial. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia.