| BAHASA
MELAYU TINGGI
sebelum balik depan
SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU
BBM3401
Oleh: HAJIMIN HAJI MASLIN
N.m: J05475 Bacelor Komunikasi
Universiti Putra Malaysia.
1.0 Pendahuluan:
Kertas kerja ini adalah membentangkan Sejarah Perkembangan Bahasa
Melayu dan konsep penggunaan Bahasa Melayu secara umum pada abad ke-7 masihi tetapi lebih
dikhususkan selepas tahun 50'an. Dengan harapan sejarah perkembangan bahasa Melayu dapat
difahami secara ringkas tetapi lengkap dan padat.
1.1 Pengenalan
Pada umumnya Bahasa Melayu telah mula digunakan dalam sistem
pentadbiran kerajaan Sri Wijaya di abad ke-7 lagi. Namun perkembangan Bahasa Melayu
dipergiatkan lagi pada era kegemilangan Melaka pada abad ke-13 sesuai dengan statusnya
sebagai pusat perdagangan di rantau ini pada ketika itu. Menurut Kamarudin Haji Husin,
Siti Hajar Haji Abdul Aziz dan Arba'ie Sujud (1997), sejarah perkembangan Melayu di
Nusantara adalah melalui tiga tahap iaitu Bahasa Melayu sebelum dan Zaman Keagungan
Melaka, Bahasa Melayu Zaman Pra-Merdeka dan Bahasa Melayu selepas Merdeka. Namun untuk
tujuan kertas kerja ini, perbincangan hanya difokuskan kepada sejarah perkembangan Melayu
selepas merdeka sekitar 50'an sehinggalah ke hari ini kearah pemupukan, kemantapan,
kesempurnaan Bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin kehidupan melalui sistem pendidikan
negara dan tokoh-tokoh bahasa Melayu di Malaysia.
1.2 Matlamat/Objektif:
Dapat mengetahui sejarah perkembangan, peranan dan sumbangan bahasa
Melayu ke arah pembentukan bahasa rasmi negara sebagai suatu identiti unggul yang dimiliki
oleh masyarakat majmuknya dan negara Malaysia yang berdaulat.
1.3 Kaedah:
Kertas kerja ini disiapkan bersumberkan data dan maklumat sekunder
yang asasnya melalui beberapa rujukan dan pembacaan buku umum, buku ilmiah dan juga
melalui perbincangan serakan semahasiswa.
1.4 Batasan
Skop analisis dan pembentangan hanya ditumpuhkan kepada sejarah
perkembangan bahasa melayu selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Peringkat-peringkat
perkembangan tersebut ialah Proses Pemupukan Bahasa, Proses Pembinaan Bahasa dan yang
ketiga Proses Pemantapan Bahasa.
1.5 Definisi /Konsep:
Menurut Profesor Dr Asmah Haji Omar 1985 Perkembangan Bahasa
Melayu merupakan pembaharuan yang terjadi pada bahasa itu untuk memenuhi kehendak sesuatu
masyarakat tertentu. Perkembangan itu juga seiring dengan perkembangan kebudayaan,
pembaharuan-pembaharuan material dan kerohanian yang mendukung konsep-konsep baru.
Konsep-konsep ini mempunyai unsur-unsur yang terdiri daripada bunyi bahasa, susunan bunyi,
awalan, akhiran dan sebagainya.
2.0 Tahap- Tahap Perkembangan Bahasa Melayu:
Sebelum mencapai kemerdekaan Bahasa Melayu hanya digunakan di
sekolah-sekolah rendah Melayu, di Maktab Pergurusan Sultan Idris Tanjung Malim, Maktab
Perguruan Perempuan Melayu Melaka dan diajar di beberapa buah Sekolah Menengah Kerajaan
Inggeris tetapi setelah Malaysia mencapai kemerdekan pada tanggal 31 Ogos 1957 bukan
sahaja rakyat Malaysia mengalami perubahan dari segi cara kehidupan dengan sambutan
tempikan-tempikan Merdeka! Merdeka! Merdeka! tetapi juga Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Rasmi Kebangsaan telah dijadikan agenda utama untuk mengisi kemerdekaan seperti yang
termaktub dalam perkara 152 (1) pelembagaan Malaysia. Mesej jelasnya adalah seperti
berikut:
" Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan
sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh parlimen."
Rasional kepada pernyataan ini dalam pelembagaan ialah bersesuaian
dengan sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk dan falsafah Dasar Bahasa Kebangsaan
adalah wajar bagi negara ini bukan sahaja mempunyai satu Bahasa Kebangsaan sebagai alat
penghubung dan alat perpaduan tetapi dari sudut politik antarabangsa, negara ini
memerlukan identiti sendiri yang dapat dilambangkan oleh bahasa yang dituturkan oleh
rakyatnya. Berikut adalah tahap-tahap perkembangan bahasa Melayu di Malaysia.
2.1. Tahap Permulaan Proses Pemupukan Bahasa (PPB)
Proses pemupukan bahasa menurut Muhd Amin Arshad (Mei 1999) dalam
buku modulnya BBM3402 adalah melalui tiga tahap yang penting iaitu tokoh-tokoh yang
berwibawa, kegiatan dan melalui sasaran-sasaran tertentu:
i. Tokoh-tokoh Yang Berwibawa:
Selain Tan Sri Syed Nasir, masih ramai lagi tokoh yang telah
menyumbang kepada kebangkitan perkembangan Bahasa Melayu di Malaysia. Antara tokoh
tersebut ialah Profesor Dato' Dr Asmah Hj Omar, Profesor Dr Nik Safiah Karim, Dato' Dr
Hassan Ahmad bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan ramai lagi.
Terbukti mereka banyak membuat kajian dan menulis buku mengenai bahasa Melayu ke arah
membantu perkembangan bahasa Melayu itu sendiri.
Contohnya: Dato' Dr Hassan Hj Ahmad yang telah menggubal Sistem
Ejaan Universiti Malaysia pada 1971 berdasarkan Sistem Ejaan Malaysia-Indonesia 1967.
Akhirnya sistem standard Bahasa Malaysia Indonesia diisytiharkan secara rasmi di Jakarta
oleh Presiden Soeharto dan Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur pada 16 Ogos 1972.
ii. Kegiatan Kempen Bahasa:
Terdapat dua cara kempen bahasa dilaksanakan iaitu melalui kempen
slogan dan penamaan. Kempen ini bertujuan mengajak rakyat Malaysia menggunakan bahasa
Melayu. Contohnya kempen Minggu Bahasa Melayu yang dilakukan di sekolah-sekolah dengan
mewajibkan semua murid bercakap atau berkomunikasi dalam bahasa Melayu semasa berada di
kawasan sekolah. Minggu Bahasa Kebangsaan Sektor Pelancongan dan Perhotelan yang akan
diadakan pada 10 Ogos 1999 ini juga merupakan cara kempen bahasa dilaksanakan dan
sebagainya.
Melalui cogan kata yang ekonomis tapi padat, informatif dan emotif
seperti "Bahasa Jiwa Bangsa", "Gunakan Bahasa Kebangsaan Kita",
"Bersatu Bertambah Mutu, Merdeka, Berjaya" dan sebagainya. Dari segi seni
penamaan pula ia meliputi penciptaan nama-nama bangunan-bangunan, institusi-institusi,
tempat-tempat, taman-taman, jalanraya dan sebagainya. Seni penamaan yang mempunyai
keindahan dan unsur-unsur estetik seperti Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan
Malaysia, Wisma Putra, Angkasapuri, Stadium Merdeka dan sebagainya.
iii. Sasaran:
Semua golongan rakyat Malaysia adalah menjadi sasaran kepada
penggunaan bahasa Melayu. Untuk mencapai hasrat ini, maka melalui Dasar Pendidikan
Kebangsaan, semua sekolah termasuk sekoleh jenis kebangsaan yang menggunakan bahasa
Inggeris sebagai bahasa penghantar diganti dengan bahasa Melayu.
Falsafah dibelakang "Laporan Razak dan Rahman Talib terhadap
Dasar Sekolah, Maktab dan di Universiti" dimana sekolah-sekolah peringkat
rendah, Penyata Razak telah menyatakan satu mesej jelas untuk menyatukan budak-budak
daripada pelbagai bangsa di dalam negara ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang
meliputi semua lapisan bangsa dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa
pengantara utama. Para pelajar yang ingin memohon untuk mengikuti program di peringkat
universiti pula adalah diwajibkan mendapat sekurang-kurangnya lulus atau kepujian Bahasa
Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Begitu juga dengan kemasukan ke
maktab-maktab perguruan di mana bahasa Malaysia disarankan agar dijadikan mata pelajaran
penting dan dijadikan sebagai syarat wajib kemasukan ke mana-mana institusi latihan
perguruan di Malaysia. Antara mesej dalam pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979 tersebut ialah:
"DAN BAHAWASANYA peruntukan selanjutnya adalah dikehendaki
untuk menentukan agar dasar tersebut dilaksanakan secara berkesan, termasuk, khususnya
peruntukan bagi perkembangan yang progresif bagi suatu sistem pelajaran dalam mana bahasa
kebangsaan adalah menjadi bahasa pengantara utama".
2.2 Tahap Pembinaan Bahasa (TPB)
Pembinaan bahasa Melayu telah pun bermula sejak tahun 1956 lagi dan
melibatkan dua institusi iaitu Maktab Perguruan Bahasa Tanjung Malim dan Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP). Maktab Perguruan di pertanggungjawab mengajar bahasa Melayu dan DBP diberi
tanggungjawab mencipta istilah, menggubal sistem ejaan standard (1972) dan menyusun
tatabahasa standard. Namun dalam tahun 70"an fokus utama pembinaan bahasa ialah
melibatkan aspek ejaan, tatabahasa (nahu), peristilahan dan perkamusan atau ringkasnya
ETIK:
i. Ejaan:
Ejaan terdiri daripada penyusunan huruf-huruf untuk
menghasilkan perkataan yang mempunyai maksud tertentu kemudian disebut serta difahami.
Terdapat tujuh jenis sistem ejaan yang pernah wujud di Malaysia. Daftar ejaan Za'ba telah
pun dikeluarkan pada tahun 1937 manakala daftar ejaan baru Bahasa Melayu dikeluarkan oleh
Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1980. Ejaan dalam Bahasa Melayu terdiri daripada dua aspek
iaitu aspek sistem ejaan rumi lama dan ejaan rumi baru. Pada tahun 1972 sistem ejaan rumi
baru Bahasa Melayu telah dipersetujui bersama Malaysia dan Indonesia untuk mencapai tujuan
standardisasi atau pembakuan bahasa antara Malaysia dan Indonesia. Namun masih terdapat
tiada kesepakatan dalam beberapa keadaan tentang ejaan seperti berikut:
Malaysia Indonesia
mahu mau
ubat obat
muzium museum
kerana karena
Mengadakan standardisasi pula mempunyai dua peringkat iaitu peringkat
nasional dan peringkat supranasional. Walaupun standardisasi ejaan sukar dicapai tetapi
sistem ejaan peringkat nasional wajar dijayakan agar masalah tidak timbul diperingkat
supranasional.
ii. Tatabahasa:
Menurut Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1996) tatabahasa
ialah peraturan-peraturan bagaimana sesuatu perkataan dibentuk dan bagaimana perkataan itu
bergabung dengan perkataan-perkataan lain untuk menghasil ayat-ayat yang gramatis. Dengan
kata lain, tatabahasa ialah rentetan ucapan, pengelompokan serta pengklasifikasian
unsur-unsur ucapan menurut fungsinya. Mengikut konsep tradisional pula tatabahasa ialah
satu cara mengkaji bahasa berdasarkan hukum-hukum yang telah dibuat terhadap bahasa itu
berdasarkan makna. Plato (429-347) menerangkan kata nama sebagai noun dan
perbuatan adalah verb. Ayat sebagai ucapan juga mempunyai fikiran yang lengkap.
Empat jenis ayat iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat seruan dan ayat perintah yang
berdasarkan logika.
Keperluan, pertumbuhan dan perkembangan tatabahasa di dalam pengajian
pendidikan dan masyarakat umum telah mula sejak zaman berzaman lagi sehinggalah sekarang.
Antara tokoh-tokoh penulis tatabahasa bahasa Melayu yang memberi sumbangan besar kepada
perkembangan dan pembinaan tatabahasa bahasa Melayu ialah Shellabear (1899) menulis
"A practical Malay Grammar", Adam & Butler (1948) menulis "Grammar of
the Malay Language", Tandeloo (1901) menulis "Malaisch Grammatica" dan
R.O.Winstedt (1913) menulis buku tatabahasa "Malay Grammar".
Di Malaysia, "Pelita Bahasa Melayu" karangan Za'ba (1953)
adalah buku tatabahasa paling luas digunakan bagi memajukan bahasa dan kesusasteraan
Melayu. Sebelum ini beliau juga menghasilkan Kitab Ilmu Bahasa Melayu (1926) dan Kitab
Pelita Mengarang (1926) dan Ilmu Mengarang Melayu (1950). Di Universiti Malaya, buku
karangan Lufti Abas (1971) "Linguistik Deskriptif dan Nahu Bahasa Melayu" telah
menjadi rujukan para mahasiswanya. Buku ini telah membincangkan tentang linguistik dan
bahasa, nahu, fonetik, fonologi, sintaksis dan nahu tranformasi-generatif bahasa Melayu.
Hasil tulisan Abdullah Hassan (1980) dalam buku "Linguistik Am Untuk Guru Bahasa
Malaysia" telah juga menerangkan tentang konsep tatabahasa dan menghuraikan dengan
jelas kompenan-kompenan nahu tranformasi. Begitu juga dengan buku tulisan Lim Kiat Boey
(1975) bertajuk "An Introduction to Linguistics for the Language Teacher" yang
menerangkan konsep-konsep dan peraturan-peraturan tatabahasa tranformasi-generatif.
iii. Istilah
Istilah bermakna kata atau gabungan kata yang menerangkan satu
makna, konsep, proses, keadaan atau sifat yang khas dalam bidang tertentu (PUPIBM, 1981:
1)
Dalam usaha pembinaan bahasa yang berterusan, DBP diberi peranan
sebagai urusetia dan tempat merujuk sementara IPT berperanan menyediakan kepakaran dan
mencipta istilah. Strategi-strategi ke arah mencapai matlamat ini, berbagai program,
polisi/dasar dan jawatankuasa-jawatankuasa dibentuk untuk menyelaras peristilahan. Contoh
Jawatankuasa Istilah DBP(1957), Pedoman Umum Pembentukan Istilah (1975), Pelaksanaan
Bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar di IPT (1975), Jawatankuasa Penyelaras ialah
Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia, Panitia Perkembangan dan Pembinaan Bahasa Indonesia
dan Majlis Bahasa Malaysia-Indonesia (di Malaysia) dan Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia
(di Indonesia). Menurut (Abdullah Hassan 1987) dalam "Isu-isu Perancangan Bahasa:
Pengintelektualan Bahasa Malaysia", DBP telah mencipta istilah 487249 buah meliputi
36 bidang (1957). Antaranya ialah istilah linguistik (cetakan ke-2, 1975), istilah Seni
Muzik (1974), istilah pentadbiran (1962), istilah undang-undang (1970), istilah
kesusasteraan (1972), istilah ekonomi (1967), istilah sains am, jabatan pertanian, fizik
dan perhutanan (Ainuddin Wahid:1958), contoh: boiler= dandang; chemical bond = ikatan
kimia.
Di samping perkembangan peristilahan giat dilaksanakan terdapat
juga beberapa masalah seperti kurangnya kepakaran, pertindihan istilah yang dicipta atau
satu istilah dikongsi oleh lebih satu bidang dan penerimaan serta mendukung konsep istilah
masih terdapat perbelahan antara bijak pandai memilih sendiri istilah yang diperlukannya.
iv. Kamus:
Kamus merupakan alat penunjang yang amat penting kerana kamuslah
terutamanya perbendaharaan kata bahasa diberikan , lengkap dengan maknanya, penggunaannya
serta disertai dengan ejaan. Kamus bukan sahaja sebagai alat rujukan tetapi alat
penyelarasan penggunaan bahasa apatah lagi dalam situasi masyarakat di Malaysia yang
mempunyai pelbagai bangsa, etenik, bahasa dan dialek. Jadi kamuslah sebagai satu alat
sebagai penyatuan khusus dalam pelaksanaan bahasa kebangsaan. Untuk mencapai objektif
kamus itu sendiri, berbagai jenis kamus diterbitkan oleh institusi yang dipertanggungjawab
seperti Dewan Bahasa dan Pustaka.
Contoh kamus DwiBahasa "Bahasa-Inggeris" oleh Khalid
M.Hussain telah menerangkan pelbagai aspek yang boleh membantu masyarakat umum dalam
memperkayakan perbendaharaan, konteks pengertian dan penggunaanya. Antara yang telah
diungkapkan dalam kamus ini ialah:
a. Kata (entri) pokok disusun menurut senarai kata sebagaimana terdapat
dalam kamus bahasa Inggeris yang standard. Contoh-contohnya:
edit = sunting
economy = ekonomi
help = tolong
b. Kata (entri) pokok termasuk homonim yang dijadikan kata senarai
didaftarkan menurut abjad. Contoh-contohnya:
aback = ke belakang
abacus = pemidang yang dipasangi bola-bola kecil yang boleh
bergerak
pada dawai digunakan sebagai alat untuk mengajar. Seperti Sempoa.
abaft = di atau ke arah belakang kapal, dan sebagainya.
c. Kata terbitan (entri bawahan) dimuatkan sebagai kata senarai yang
berasingan. Contoh-contohnya:
editor = penyunting
educationist = pakar pendidikan
helpful = suka menolong
d. Kata majmuk. Contoh:
The house costs him RM10,000 ATAU
Rumah itu dibelinya dengan harga RM10,000.
e. Penggolongan jenis kata diterjemahkan secara langsung dari
penggolongan jenis kata bahasa Inggeris ke dalam bahasa Malaysia. Contoh-contohnya:
kn (noun) kata nama, ks (adjective) kata sifat, kkt
(adverb) kata keterangan, U.K (United Kingdom) United Kingdom, utk (for) untuk
dan sebagainya.
f. Lambang fonetik untuk membantu pengguna kamus ini mengucapkan
kata-kata dalam bahasa Inggeris serta terjemahan dalam bahasa Malaysia. Contoh-contohnya
seperti:
[u] cook [kuk] kn 'jurumasak', [i:] see[si:] kk '(me)
lihat', [a:] grass [gra:s]kn 'rumput' dan sebagainya.
g. Contoh-contoh frasa dan ayat bagi menjelaskan lagi maknanya sesudah
definisi dan tafsirannya. Contoh-contohnya:
Pusaka (seerti warisan). Ayahnya baru meninggal dunia dengan
meninggalkannya pusaka yang agak banyak juga.
Keramat (seerti suci dan berkat). Makam Habib Noh di Singapura
diziarahi ramai orang kerana dianggap makam yang keramat.
h. Bahasa kiasan, pepatah dan peribahasa yang ada persamaan dari bahasa
Inggeris ke dalam bahas Melayu. Contoh:
Flowers of speech atau membawa maksud Bunga Bahasa.
Satan atau membawa maksud orang yang jahat dan buruk
perangainya.
i. Kata (entri) pokok dan kata terbitan (entri bawahan) diberi definisi
dan tafsirannya dan disusuli dengan contoh-contoh punya (ada), berpunya
(bertuan), mempunyai (memiliki) dan kepunyaan (dimiliki).
i. Sharifah sudah berpunya.
ii. Jalan punya jalan bersualah mereka dengan seorang
perempuan.
iii. Duit itu kepunyaan saya bukan kepunyaan
tuan.
iv. Pak Kaduk dan Lebai Malang memang merupakan
manusia yang dungu tetapi mempunyai daya berfikir.
j. Tanda
baca seperti tanda koma (,), tanda titik bertindih(:),
tanda garis (-), tanda kurung(...), tanda kurung siku [....],
tanda petik tunggal '....', angka 1,2,3 melambang kata kerja,
frasa, dan kata majmuk dan angka ke 1, ke 2, ke 3
menjelaskan tingkatan makna. Contoh-contohnya:
i. Pujangga 1. pengarang sajak (syair dan lain-lain) yang agung
dan tinggi mutunya; 2. ahli fikir, ahli sastera (bahasa);
ii. Memuja 1. memuja dewa-dewa dengan
membakar dupa.
iii. Bagi saya ungkapan 'tatabahasa yang lengkap'
itu adalah ungkapan yang kabur.
iv. Slyness [slaili] kn perihal licik; kelicikan.
v. Sejarah perkembangan Bahasa Melayu bermula pada abad ke 7
lagi sementara perkembangan Bahasa Inggeris moden bermula di zaman pembangkitan (
Renaissane) kira-kira 500 tahun atau 5 abad yang lalu.
Sebagai rumusan, kamus bukan sahaja menjadi rujukan semata-mata dari
segi maknanya tetepi kamus juga dapat membantu meningkatkan lagi perbendaharan kata dan
mengetahui maksudnya daripada kalangan penggunaannya.
3.0 Tahap Pemantapan Bahasa (PB)
Mengikut Muhd Amin Arshad (Mei 1999) dalam "modul
BBM3401", tahap pemantapan bahasa dapat dicapai melalui kecendekiaan
(keintelektualan) dan kesempurnaan bahasa:
3.1 Kecendekiaan atau keintelektualan:
Dirumuskan sebagai bahasa Ilmu yang dapat disesuaikan dengan
sistem, ekspresi serta dapat menyampaikan fikiran yang kompleks yang berkait-kaitan antara
satu dengan yang lain dan dapat membuat pernyataan yang tepat, padat dan abstrak. Selain
itu penggunaan gaya dan laras yang ilmiah seperti ada ciri-ciri ketepatan, kejelasan dan
lojik serta boleh dicapai melalui perkembangan kosa kata atau perbendaharaan dan struktur
tatabahasa.
i. Pengembangan Kosa Kata Perbendaharaan:
Leksis atau kosa kata Perbendaharan boleh dicapai melalui penerbitan
istilah pinjaman dan bukan pinjaman. Istilah-istilah ini juga boleh ditumpukan kepada
pelbagai bidang tertentu yang khusus dan juga am. Misalnya istilah-istilah dalam bidang
sejarah, perubatan, komunikasi dan pendidikan. Antara contoh-contoh istilah yang dipinjam
dari bahasa Inggeris dalam bidang sejarah seperti residen, komunis, politik, empayar,
gabenor, monopoli dan revolusi. Istilah-istilah ini hanya dibuat penyesuaian
dari segi ejaan dan lafaznya sahaja.
Sementara istilah-istilah bukan pinjaman pula terdiri daripada dua
kumpulan utama iaitu kata umum dan kata terbitan yang dihasilkan melalui proses
pengimbuhan. Antara contoh istilah geografi seperti latitud, hutan paya air tawar,
tebus guna, angin pantai, suhu tahunan, iklim, monsun, timur laut, hujan, bintang, sejuk,
sungai, hutan sederhana, malar hijau dan sebagainya.
Sementara kata umum kepada kata terbitan seperti duduk kepada
menduduki, besar kepada pembesar, turun kepada keturunan, saing kepada persaingan dan
duduk kepada kedudukan dan sebagainya.
ii. Struktur Tatabahasa:
Menurut ahli-ahli Prague Linguistic Circle (1929) memberi
pengertian "structuralism" bahawa bahasa bagi tiap-tiap bangsa terdiri daripada
satu struktur unit-unit yang berhubungan. Di Malaysia antara buku-buku tatabahasa bahasa
Melayu disusun berdasarkan struktur bermula di tahun 60'an lagi. Contohnya ialah Mari
Belajar Bahasa Kita oleh Asraf (1971) yang menekankan teknik soal jawab. "An
Introduction to Malay Grammar oleh Asmah Haji Omar dan Rama Subbiah (1968) memperhalkan
tentang strukturial sistem yang sesuai dijadikan rujukan oleh para mahasiswa, orang-orang
dewasa dan pelajar sekolah-sekolah tinggi. Buku-buku ini sebenarnya banyak memperhalkan
tentang linguistik dan tatabahasa struktural yang akhirnya memberi kesedaran dan
membiasakan para pelajar tentang pola-pola struktur dengan cara yang
berperingkat-peringkat.
3.2 Kesempurnaan bahasa:
Terdapat beberapa ciri-coro bagi kesempurnaan sesuatu bahasa seperti
ketekalan, ketertiban, keindahan, keberadaban dan keberkasanan. Akan tetapi antara
ciri-ciri yang utama dan sewajarnya ada pada sebuah bahasa ialah:
i. Kecendekiaan:
Dimana bahasa berkebolehan untuk menyampai idea, hujah dan lojik
iaitu Bahasa Ilmu dan Bahasa Pembicaraan Tinggi. Contohnya seorang pemidato boleh
berhujah, seorang hakim membuat keputusan atau pensyarah dapat menyampai mesej pengajaran
melalui bahasa yang mudah difahami atau dimengertikan.
ii. Kepelbagaian:
Bahasa Melayu dapat menyajikan pelbagai fakta atau idea di dalam
pelbagai disiplin kehidupan. Maknanya satu istilah dapat memberi lebih satu erti atau
makna.
iii. Kelenturan:
Bahasa Melayu boleh disesuaikan dalam pelbagai keadaan atau
perubahan tanpa menjejaskan ciri-ciri keaslian maknanya. Misalnya Bahasa Melayu telah
digunakan secara meluas oleh pedagang-pedagang, pengembang-pengembang agama Budda dan
Hindu sebelum masihi dan pengembang agama Kristian, Islam dan penulisan kesusasteraan pada
zaman keagungan Melaka.
Adalah dipercayai bahawa Bahasa Melayu paling tua ialah tulisan Melayu
Kuno yang diubahsuai pada sistem tulisan Pali daripada India. Ini dapat dibuktikan dengan
terdapatnya dalam prasasti-prasasti di Bangka, di Tulang Tuwo dan Kedukan Bukit di
Sumatera. Lihat Rajah (2) tentang kronologi perubahan tulisan Bahasa Melayu.
Ini bukti menunjukkan bahasa Melayu adalah bahasa yang mudah lentur
atau diubahsuai mengikut zaman serta menjadi salah satu ciri-ciri dalam pemantapan bahasa
rasmi negara Malaysia.
Rumusan:
Pelbagai tahap, polisi, dasar dan tindakan telah dilakukan untuk
membantu perkembangan Bahasa Melayu (Malaysia) di negara ini, namun apa yang mustahak
ialah perkembangan bahasa dan kejayaanya adalah memerlukan latihan dan penyertaan daripada
segenap lapisan masyarakat di negara ini kerana tanpa ada pengucap atau penutur bahasa itu
akan lambat laun akan hilang. Mengikut Kamaruddin, Siti dan Aba'ie (1997), 4
strategi perancangan ke arah mencapai matlamat perkembangan Bahasa Melayu, iaitu tahap
penentuan dasar, tahap pengkodan, tahap pembinaan dan tahap pengembangan bahasa itu
sendiri.
BIBLIOGRAFI
Kamarudin Hj.Husin, Siti Hajar Hj.Abdul Aziz, Arb'ie Sujud (1997) Pengajian
Melayu 1: (Ilmu Bahasa dan Kecekapan Berbahasa). Selangor: L.C.Marketing.
Abdullah Hassan (1987) Isu-isu Perancangan Bahasa: Pengintelektualan
Bahasa
Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Hajar Hj.Abd.Aziz (1996) Tatabahasa Bahasa Melayu (Perkataan).Kuala
Lumpur:
Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.
Asmah Haji Omar (1993) Susur Galur Bahasa Melayu.Kuala
Lumpur:Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Khalid M.Hussain Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris-Bahasa Malaysia.
Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Prof.Dr.Asmah Haji Omar (1985) Perancangan Bahasa Dengan Rujukan
Khusus Kepada Perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Hassan (1987) Isu-isu Pembelajaran dan Pengajaran Bahasa
Malaysia. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
S.Nathesan(1995) Laras Bahasa Ilmiah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka. |