BERKAYAK KE PULAU MAMUTIK

             Aktiviti saya kali ini ialah aktiviti air iaitu berkayak. Pada 30 September 2000 yang lalu saya bersama 3 rakan saya yang lain telah menyertai satu program latihan dan berkayak ke Pulau Mamutik yang dianjurkan oleh Kumpulan Pengakap Kelana - B daerah Penampang. Aktiviti ini diadakan di Pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu bermula pada jam 9.00 pagi.

click for big size
             Kami berempat iaitu saya sendiri, Amran, Rahayu dan Normala mewakili kumpulan kami iaitu Kumpulan Pengakap Kelana-E (Terbuka) Kota Kinabalu sebagai kumpulan jemputan.

             Kami tiba di Pantai Tanjung Aru kira-kira pada jam 8.30 pagi. Kelihatan beberapa orang peserta lain sudah menunggu peserta-peserta lain datang. Pada jam 9.00 pagi, saya dan Amran turut membantu pihak penganjur dalam menyediakan dan melengkapkan peralatan-peralatan berkayak. Manakala yang lain sedang mengikuti taklimat dan latihan didarat daripada jurulatih kayak (instructor). Ketika saya dan beberpa rakan lain berada di tapak penyimpanan kayak (Rumah B.P. Sembulan), saya bersama Amran serta En. Salleh (pihak penganjur) bertugas untuk memilih kayak dan peralatan berkayak yang cukup baik dan selamat untuk digunakan sebelum diangkut dengan sebuah lori oleh beberapa orang rakan yang lain ke Pantai Tanjung Aru. Sambil-sambil kami bekerja, kami saling bertukar-tukar cerita mengenai aktiviti-aktiviti dan ekspedisi-ekspedisi yang lalu, sedikit sebanyak dapatlah juga dijadikan panduan dan peringatan.

click for big size
             Setelah segala kerja penyediaan kayak dan peralatan berkayak selesai, Jam 10.30 pagi, latihan kayak secara praktikal (di laut) dijalankan. Tapi sebelum itu, kami melakukan sedikit senaman warm-up sebelum masuk ke dalam air. Selepas itu kami membuat beberapa latihan di air untuk membina keyakinan diri didalam air (water-confidence) dengan beberapa jenis latihan seperti life-grip, teknik keluar dari kayak yang terbalik, teknik masuk semula kedalam kayak di paras air yang dalam, rafting, bertiti dari satu kayak ke kayak yang dan banyak lagi.

             Pada jam 12.40 tengahari, kami berhenti rehat di tepi pantai sambil menjamu selera dengan BBQ yang disediakan oleh pihak penganjur. Memang seronok makan ditepi pantai dengan rakan-rakan yang lain, sambil makan sambil bertukar-tukar cerita. Walaupun cuaca pada hari itu sedikit mendung, namun kami tidak boleh mengelakkan kulit kami daripada dibakar oleh sinar matahari. Masing-masing sudah memperlihatkan wajah yang bertukar menjadi kemerah-merahan.

             Pada jam 1.45 petang, aktiviti berkayak kami diteruskan. Kami dimaklumkan bahawa aktiviti kami yang seterusnya ialah berkayak ke Pulau Mamutik iaitu salah sebuah pulau daripada lima pulau Taman Tunku Abdul Razak. Peserta yang mengikuti aktiviti berkayak ini adalah seramai 34 orang termasuk 4 orang jurulatih kayak. Jika waktu latihan kayak saya berpasangan dengan Amran, kali ini untuk berkayak ke pulau Mamutik kami telah merancang untuk bertukar pasangan supaya dapat memastikan keselamatan semasa berkayak lebih terjamin.

click for big size
             Jam 2.05, setelah beberapa penerangan diberikan, kami memulakan dayungan menuju ke Pulau Mamutik dalam kelompok "diamond shape". Cuaca ketika itu kurang memuaskan. Dari jauh kelihatan hujan telah mulai turun di beberapa buah pulau lain. Namun aktiviti kami tetap diteruskan. Saya dan partner saya Normala berada di tengah kelompok diantara semua pengayak, manakala Amran dan Rahayu berada dikelompok di hadapan sekali. Separuh daripada perjalanan kami, kami berlabuh seketika di sebuah pulau pasir kecil untuk memastikan kesemua peserta berada dalam keadaan yang selamat dan mampu untuk meneruskan dayungan.

             Kami berhenti disana sekadar untuk bertanyakan keadaan masing-masing, memandangkan semuanya berjalan lancar, kami meneruskan perjalanan menuju ke Pulau Mamutik. Hujan mula mentitiskan airnya tetapi tidaklah begitu membimbangkan. Hampir separuh perjalanan daripada Pulau Pasir ke Pulau Mamutik, tiba-tiba kedengaran suara halus seolah-olah ada orang meminta tolong. Mala menegur, "eh macam ada orang minta tolong". Kami berhenti mendayung dan serentak menoleh kebelakang. Kami tidak terlihat apa-apa pun kejadian cemas yang berlaku dibelakang kami, cuma beberapa kelompok pendayung lain yang jauh sayup-sayup kelihatan. Dihadapan kami cuma ada sepasang lagi pendayung lain manakala yang lain jauh dihadapan. "Ah tiada apa-apa pun!" saya cuba meyakinkan Mala. Kami terus mendayung, dan tidak lama kemudian sekali lagi kedengaran suara sayup-sayup dari arah belakang seolah-olah mengatakan sesuatu. Saya menoleh lagi, saya terlihat pendayung di belakang melambai-lambai menunjukkan satu isyarat yang tidak saya fahami. "Hmm... diorang bergurau saja", kataku dalam hati. Apabila saya hendak menoleh kehadapan semula, tiba-tiba saya terlihat satu objek besar bergerak menuju ke arah kami dari sebelah kanan. "Mala tengok tu kapal besar!" saya memberitahu Mala. Kami terhenti mendayung seketika melihatkan sebuah kapal besar sedang menuju kearah kami.
click for big size
Kami segera membuat keputusan untuk terus mendayung secepat yang mungkin untuk mengelakkan daripada bertembung dengan kapal tersebut. Yang hairannya kapal tersebut tidak membunyikan sebarang hon ataupun mengurangkan kelajuan seolah-olah tidak terlihat akan kewujudan kami dan pendayung-pendayung lain dihadapan mereka. Kalau didarat mungkin kami sudah lari langkah seribu tapi di laut kami terasa teralu perlahan untuk memastikan kami selamat melimpasi kawasan laluan kapal tersebut. Kami meyakinkan diri kami yang kami akan selamat melimpasi kapal tersebut. Tanpa berkata apa-apa, kami terus mendayung sambil menjeling-jeling kearah kapal untuk memastikan kedudukan kami. Pasangan pendayung yang berada tidak jauh dihadapan kehairanan melihat kami mendayung dengan begitu pantas hingga dapat memintas mereka berdua. Saya memberi isyarat kepada mereka sambil berteriak "Kapal! Kapal!". Apabila mereka terlihat akan kapal yang semakin hampir itu, mereka pun turut serta dalam "perlumbaan" kayak tersebut. Setelah kedudukan kami agak selamat kami memperlahankan dayungan sambil melihat rakan-rakan kami yang lain dibelakang. Cuma sebuah kayak sahaja yang berjaya melimpasi kapal tersebut selepas kami, manakala yang lain terpisah jauh di belakang. Kami berasa lega kerana semuanya selamat dan sempat juga Mala bergurau "Uih.. macam kena kejar anjing saja!" Kami ketawa bila mengingatkan situasi kelam kabut tadi.

             Hampir sejam perjalanan kami, kami pun tiba di Pulau Mamutik pada jam 3.04 petang. Setelah kayak kami betul-betul selamat berada di pantai Pulau Mamutik, kami menghilangkan keletihan dengan bermandi manda di sana. Keadaan disekitar pulau ini memang cantik dengan pasirnya yang putih serta airnya yang jernih. Sekurang-kurangnya hilang juga rasa keletihan tu.

             Jam 3.30 petang, ketua rombongan ataupun instructor kami mengarahakan kami untuk memulakan perjalanan balik ke Pantai Tanjung Aru. Beliau memberikan beberapa peringatan mengenai keadaan ombak dan cuaca diketika itu.
click for big size
Diantara beliau menyuruh kami memerhatikan arah arus ombak pada permukaan yang bertentangan dengan arus yang berada dibawah laut, gelombang ombak yang mula meninggi dan tiupan angin yang memungkinkan kedudukan kayak tidak akan tetap. Saya dan Mala merupakan pengayak yang terahir sekali berlepas dari Pulau Mamutik, manakala Amran dan Ayu sudah berada jauh dihadapan luar daripada kawasan Pulau Mamutik. Perjalanan balik sedikit menyeronokkan mungkin kerana "enjin dah panas". Namun pinggang saya mula terasa sakit dan mulalah saya tak reti duduk diam kat dalam kayak tuh. Kekadang tu semacam risau Mala memerhatikan gelagat saya di belakang, takut-takut nanti kayak akan terbalik memandangkan laut yang mula bergelora. Sepanjang perjalanan balik ini kurang pula kerisauan tapi bertambah keseronokkan.

             Jam 4.50 petang, kami tiba semula di Pantai tanjung Aru. Mendampar saja kayak kami di tepi pantai, "debush!" Mala tanpa membuang masa berbaring di tepi pantai yang cetek tu. Saya pulak duduk sambil membetulkan tulang belakang yang rasanya sudah berpilas semasa berkayak tadi. Syukurlah kami sudah selamat sampai. Terlihat Amran dan Ayu yang sudah lama tiba berlari-lari anak cuba mendapatkan kami. Di laut masih lagi kelihatan separuh daripada pengayak-pengayak sedang berdayung mengharung ombak. Tidak sangka kami tiba awal sedangkan kami yang paling lewat bertolak dari Pulau Mamutik. Ayu dan Mala mengambil kesempatan lagi bermain-main dan bermandi manda di sana manakal saya dan Amran bercerita-cerita mengimbas semula pengalaman sepanjang perjalanan tadi.

             Jam 5.30 petang, semua peserta sudah selamat sampai, dan dengan sedikit ucapan daripada instructor kami, aktiviti pun bersurai. Kami dari Kelana-E (Terbuka) Daerah Kota Kinabalu, terhutang budi dengan Kumpulan Pengakap dan Kelana-B Daerah Penampang atas jemputan mereka untuk menyertai program ini. Di lain masa, kami akan cuba merancang lagi aktiviti-aktiviti lain untuk mengeratkan diantara kedua-dua daerah ini iaitu Kota Kinabalu dan Penampang. Setelah kami selesai membantu mengemas peralatan berkayak dan persekitaran pantai, kami pun balik pada jam 6.05 petang dengan satu lagi pengalaman baru.


Muka Hadapan (Home)

Copyright © 1999-2000 Huzaimi - Out Coverage, All Rights Reserved.