Hutan-hutan di Sabah


Jenis-jenis Hutan

Dianggarkan kira-kira 4.7 juta hektar luas hutan atau 63 peratus daripada jumlah keluasan tanah negeri Sabah. Kebanyakan daripada tanah diliputi hutan telah digazet sebagai Hutan Simpan Kekal, Taman Negara dan Taman-taman Negeri. Kawasan-kawasan Hutan Perlindungan bertujuan untuk pemeliharaan pelbagai jenis hutan untuk kepentingan generasi masa kini dan akan datang. Vegetasi hutan di negeri Sabah merupakan hasil proses sesaran hutan dari kawasan pantai, Hutan Bakau sehingga ke kawasan Hutan Dipterokap Tanah Pamah, Hutan Dipterokap Tanah Tinggi dan Hutan Pergunungan.


Casuarina EquisetifoliaDaun Casuarina Equisetifolia
Casuarina Equisetifolia

Hutan Pantai

Hutan ini didapati di sepanjang pantai negeri Sabah. Hutan ini semakin pupus disebabkan oleh skim pembangunan pantai yang semakin meningkat. Spesies yang mendominasikan hutan ini ialah Casuarina equisetifolia.

Hutan Bakau

Hutan ini meliputi sebahagian besar pantai barat dan timur negeri Sabah. Rhizophora sp. dan Bruguiera sp. merupakan spesies yang banyak didapati di kawasan ini. Spesies-spesies tersebut mula dieksport ke luar negara sejak 1986. Kayu bakau mempunyai kegunaan akhir yang berguna seperti kayu api, tiang-tiang rumah dan bahan bakar. Kawasan Hutan Bakau penting untuk hidupan laut seperti ikan dan udang.


Bruguiera Gymnorrhiza
Rhizophoraceae

Hutan Nipah

Hutan ini biasanya didapati tumbuh bersama dengan vegetasi Hutan Bakau. Hutan ini tumbuh di kawasan air tawar. Daun nipah digunakan untuk membuat atap rumah manakala luahan digunakan sebagai minyak.

oncosperma tigillariaoncosperma tigillarium
oncosperma tigillaria        oncosperma tigillarium
Hutan Transitional

Hutan ini didapati di antara Hutan Bakau, Hutan Nipah atau Hutan Paya dan dikenali sebagai Hutan Tanah Kering. Spesies yang mendominasikan kawasan hutan ini adalah seperti Nibong ( Oncosperma sp.), palma, rotan dan Merbau ( Intsia palembanica ).

Hutan Paya

Hutan ini terbentuk di antara Paya Gambut dan Paya Air Tawar. Paya Air Tawar menerima sumber air dari kawasan jeram dan sungai, manakala Paya Gambut menerima kelembapan dari air hujan.

Hutan Dipterokap

Terminologi Dipterokap telah diambil sempena sifat fizikal buah yang mempunyai dua helai sayap. Jenis hutan ini mendominasikan hutan di negeri Sabah. Hutan ini merupakan jenis Hutan Hujan Tropika yang terkenal dengan pokok yang mempunyai ketinggian paling tinggi berbanding dengan pokok dari hutan-hutan lain di dunia. Spesies Dipterokap mempunyai banir besar dan pengeluaran bunga dan buah pada dahan. Hutan ini boleh didapati pada ketinggian 900m atas paras laut dan dibahagikan kepada 8 genera utama.

Hutan Riverine

Hutan ini banyak didapati disepanjang sungai dengan kandungan spesies yang pelbagai. Spesies untuk kayu balak adalah kurang didapati tetapi hutan ini penting sebagai penghalang banjir, pelindung tebing sungai dan mengurangkan hakisan tanah di kawasan tanah curam.

Hutan Kerangas

Hutan ini ditumbuhi pokok-pokok yang berdiameter kecil, daun berkulit dan tanah hutan yang nipis dan berasid. Tanah nipis tersebut biasanya dilapisi batu kapur. Spesies kayu balak dan hidupan liar kurang didapati di kawasan hutan ini.

Hutan Ultrabasic

Struktur hutan adalah berbeza dari hutan lain. Pokok mempunyai silara dan daun yang kecil. Jenis hutan ini banyak didapati di kawasan berbukit, daerah Telupid.

Hutan Pergunungan

Hutan ini wujud pada ketinggian melebihi 900m atas paras laut. Jenis hutan ini boleh didapati di sepanjang Banjaran Crocker dan Gunung Kinabalu. Pokok Oaks dan Chestnuts banyak didapati kerana tahan dengan tiupan angin kencang dan keadaan cuaca yang ekstrim.

Hutan Cloud

Hutan ini wujud pada ketinggian melebihi 2,200m atas paras laut dan tumbuh pada lapisan tanah yang nipis. Spesies ini boleh didapati di kawasan Gunung Kinabalu pada ketinggian melebihi 3,300m atas paras laut. Spesies lumut dan tumbuhan Red Rhododendrons didapati tumbuh pada pokok rhu dan Dacrydium beccarri.


Rhododendrons Cinnabarinum "Yello Red"

Kembali Ke Back to Basics


Muka Hadapan (Home)
Copyright © 1999-2001 Huzaimi - Out Coverage, All Rights Reserved.